Seringkali kita mendengar perkataan ‘ Ulul Albab ‘,sebuah golongan yang mendapat petunjuk dan rahmat Allah SWT.Golongan bertuah dan hebat ini,sering menjadi ulangan dalam kitabullah al-Quran al-karim sebanyak 16 kali.
Ulul Albab tidak khusus kepada mana-mana peringkat umur sama ada tua mahupun muda.Selagi mana seseorang individu mahupun satu kelompok menepati beberapa kriteria yang terdapat dalam al-Quran,mereka layak digelar sebagai Ulul Albab.
Allah SWT berfirman :
یُؤۡتِی ٱلۡحِكۡمَةَ مَن یَشَاۤءُۚ وَمَن یُؤۡتَ ٱلۡحِكۡمَةَ فَقَدۡ أُوتِیَ خَیۡرࣰا كَثِیرࣰاۗ وَمَا یَذَّكَّرُ إِلَّاۤ أُو۟لُوا۟ ٱلۡأَلۡبَـٰبِ
Terjemahannya :
Allah memberikan Hikmat kebijaksanaan (ilmu yang berguna) kepada sesiapa yang dikehendakiNya (menurut aturan yang ditentukanNya). Dan sesiapa yang diberikan hikmat itu maka sesungguhnya ia telah diberikan kebaikan yang banyak. Dan tiadalah yang dapat mengambil pengajaran (dan peringatan) melainkan orang-orang yang menggunakan akal fikirannya.
[Surah Al-Baqarah 269]
Melalui ayat di atas,Allah SWT menceritakan bagaimana kecaknaan Ulul Albab,dalam mengambil ibrah dan pengajaran daripada segala peristiwa dan sejarah yang terjadi.Mata fikiran mereka sentiasa berfikir dan berkerja demi kemaslahatan ummah.
Tuntasnya, Ulul Albab adalah orang- orang yang berakal dan berfikir. Menurut al-Quran pula ulul albab adalah kelompok manusia yang memiliki keistimewaan yang dikurniakan Allah SWT seperti kebijaksanaan, hikmah dan juga pengetahuan.Di sini,saya senaraikan sejumlah ciri-ciri Ulul Albab :
Ciri-ciri Ulul Albab Dalam al-Quran
1. Mampu Mengambil Pelajaran dan Hikmah
Sifat Ulul Albab yang pertama adalah mampu mengambil pengajaran dan hikmah dengan segala perkembangan semasa dan sejarah yang berlaku.Kercaknaan ini penting bagi menyusun tindakan dan keputusan yang bakal dibuat.
Dengan erti kata lain, Ulul Albab tidak memeluk tubuh lantas mengabaikan segala perkembangan dan sejarah yang berlaku,lebih-lebih lagi apabila ianya melibatkan saudara seagama mereka sendiri.
2. Mendapat Petunjuk Allah SWT
Ulul Albab sentiasa dipandu tindak-tanduknya dengan petunjuk Allah SWT.Mengapa?
Jawapannya, Ulul Albab sentiasa merujuk dan mencerna 2 perundangan utama Islam iaitu ‘al-Quran dan as-Sunnah’.Kehidupannya tidak pernah bertentangan dengan perintah dan arahan Allah SWT. Kurniaan pertunjuk dan hikmah ini,direkodkan dalam ayat di atas.
3. Sentiasa Komited Semasa Mencari Dan Menuntut Ilmu.
Ilmu adalah pelita kehidupan.Tanpa ilmu manusia bakal teraba-raba dalam kegelapan kejahilan dan kebodohan. Kepentingan ilmu disabdakan oleh baginda Rasulullah SAW yang bermaksud :
“Siapa yang mengehendaki (kejayaan) hidup di dunia, hendaklah dengan ilmu. Siapa yang mengehendaki (kejayaan) hidup di akhirat, hendaklah dengan ilmu dan siapa yang mengehendaki kedua-duanya (kejayaan hidup di dunia dan akhirat) hendaklah dengan ilmu”
(Hadis riwayat Bukhari dan Muslim).
Oleh yang demikian, Ulul Albab sentiasa memanfaatkan masa mereka dengan pengisian ilmu dari segi rohani mahupun jasmani. Kedua-dua aspek ini amat penting bagi membantu umat Islam dengan lebih menyeluruh.
Mereka komited semasa mencari dan menuntut ilmu. Ulul Albab tidak sewenang-wenangnya menghabiskan kehidupan mereka dengan perkara-perkara yang sia-sia dan tidak bermanfaat.
4. Sentiasa Mentafakuri Dan Mentasyakuri Ciptaan Allah
Tafakur bermaksud memikirkan dengan teliti kejadian ciptaan Allah SWT bertujuan menyemai rasa tawaduk dalam diri. Ciptaan Allah SWT sama ada di langit mahupun di bumi sangat mengesankan hati dan nurani mereka akan kehebatan dan keagungan Allah SWT.
Manakala mentasyakuri pula bermaksud, merasa lazat dan kagum semasa memikirkan ciptaan Allah SWT. Perasaan ini mendorong diri mereka untuk sentiasa mengingati Allah SWT dalam kehidupan. Hasilnya mereka sentiasa merasa berada dalam muroqobah iaitu pengawasan Allah SWT.
Maka secara automatik, Ulul Albab sangat malu dan takut untuk mengingkari perintah Allah SWT. Kedua-dua elemen di atas boleh direnung dalam ayat di bawah :
(أَفَلَا یَنظُرُونَ إِلَى ٱلۡإِبِلِ كَیۡفَ خُلِقَتۡ وَإِلَى ٱلسَّمَاۤءِ كَیۡفَ رُفِعَتۡ وَإِلَى ٱلۡجِبَالِ كَیۡفَ نُصِبَتۡ وَإِلَى ٱلۡأَرۡضِ كَیۡفَ سُطِحَتۡ)
Terjemahannya :
(Mengapa mereka yang kafir masih mengingkari akhirat) tidakkah mereka memperhatikan keadaan unta bagaimana ia diciptakan?.Dan keadaan langit bagaimana ia ditinggikan binaannya?.Dan keadaan gunung-ganang bagaimana ia ditegakkan?
[Surah Al-Ghashiyah 17 – 20]
Konklusinya, sangat banyak sifat mahmudah (akhlak terpuji) yang boleh dicontohi daripada Ulul Albab. Kesemua sifat ini bakal menjadikan kita seorang muslim yang cemerlang gemilang dan terbilang dalam banyak aspek kehidupan. Marilah bersama-sama mengembleng tenaga menjadi salah seorang daripada generasi terbilang ini.
Wallahualam.
Referensi.
https://brainly.co.id/tugas/12038376