Memilih pasangan yang tepat dan serasi dengan kehidupan diri adalah idaman yang didambakan oleh setiap pasangan.
Pemilihan pasangan yang sesuai memerlukan kepada pemerhatian yang lebih mendalam supaya perkahwinan yang dibina nanti tidak kecundang di tengah jalan.
Faktor perceraian yang semakin meninggi kadar peningkatannya sangat meresahkan kita kerana kadar perceraian yang berlaku itu adalah dalam kalangan umat Islam itu sendiri.
Tidak dapat disangkal lagi antara faktor penyumbang besar kepada perceraian adalah tidak tepat dalam memilih pasangan hidup kerana tidak adanya kefahaman dan keserasian antara pasangan masing-masing.
Memilih Pasangan Yang Sekufu
Menurut Istilah syara’ kufu ialah persamaan antara lelaki dan perempuan atau lelaki melebihi perempuan pada sifat-sifat tertentu,
Di mana ia menyebabkan menjadi kebanggaan kaum keluarganya dan boleh membawa kebahagiaan.
Ada pendapat menyatakan kufu ialah suami yang sepadan dengan isteri pada kedudukan sama ada dalam masyarakat,akhlak dan kekayaan.
Secara umumnya,Kufu itu bermaksud persamaan taraf lelaki dan perempuan dari pelbagai sudut dan aspek.
Antara perkara-perkara yang perlu diberikan perhatian utama adalah :
•Agama dan Kesolehan
Syeikh Nasih Abdullah Nasih Ulwan dalam kitabnya,Tarbiyah al-Aulad berkata Bermula dari prinsip ini,Uthman bin Abi al-As al-Thaqafi telah menasihati dan berpesan kepada anak-anaknya supaya memilih tempat meletak benih masing-masing serta mengelakkan baka keturunan yang buruk.
Inilah apa yang dikatakan kepada mereka :
“Wahai anak-anakku,orang yang bernikah itu seumpama orang yang bercucuk tanam,seseorang perlu meneliti,di mana dia mencucuk tanamannya.Baka keturunan yang tidak baik jarang mempunyai anak,jadi pilih-pilihlah walau sehingga bila masa pun”.
Apa yang kita boleh faham dari nasihat yang diberikan oleh Uthman bin Abi al-As al-Thaqafi kepada anak-anaknya beliau cuba memberitahu kepada kita bahawa memilih pasangan yang benar-benar berkualiti itu adalah satu perkara yang amat penting dalam rangka membina masyarakat yang terpuji.
Tidak lain dan tidak bukan,dalam mencari dan meneliti pasangan hidup,faktor agamalah menjadi satu perkara yang perlu dititikberatkan.
Seorang lelaki yang fasiq tidak sama dengan perempuan yang solehah.Hal ini berdasarkan kepada firman Allah SWT :
أَفَمَنْ كَانَ مُؤْمِنًا كَمَنْ كَانَ فَاسِقًا ۚ لَا يَسْتَوُونَ
Maksudnya : “Apakah orang-orang beriman itu sama dengan orang-orang yang fasik? Mereka tidak sama ”
(Surah Al-Sajadah Ayat 18)
•Pekerjaan
Seseorang yang mempunyai pekerjaan bertaraf rendah,seperti tukang sapu,tukang bekam,pengembala ternakan,pencuci tandas adalah tidak kufu’ mengahwini anak perempuan seorang ilmuan,hakim atau ahli perniagaan.
Seseorang yang bertaraf rendah bukanlah bermaksud tidak boleh untuk mengahwini mereka yang bertaraf tinggi,
Tetapi kesan yang terhasil melalui perbezaan taraf lebih banyak mengundang keburukan dari kebaikan melainkan kalau antara mereka ada sifat saling meredhai dan memahami antara satu sama lain.
Itu tidak akan menjadi masalah jika mereka saling boleh terima dan memahami corak kehidupan pasangan hidup masing-masing dengan baik.
•Tidak Cacat
Tidak mempunyai kecacatan yang boleh menyebabkan pasangan berhak memilih untuk memfasakhkan perkahwinannya.
Seorang lelaki yang gila atau sopak tidak sekufu’ dengan seorang perempuan yang tidak berpenyakit seperti itu.
Sekufu dalam perkahwinan ialah hak isteri dan wali-walinya.Walaupun kufu’ bukannya syarat sah nikah,tetapi ia perlu untuk mengelakkan perkara yang buruk terhadap isteri dan para walinya dan menjamin kelangsungan hidup suami isteri.
Ini kerana pasangan yang sekufu’ mempunyai cara hidup yang tidak berbeza dan boleh diterima.Justeru salah seorang daripadanya tidak terpaksa mengubah kebiasaannya kerana mereka telah mempunyai persamaan.
Namun,bakal isteri dan walinya boleh menggugurkan syarat sekufu ini.Sekiranya seorang perempuan telah dikahwinkan oleh walinya dengan seorang lelaki yang tidak sekufu’,tetapi dengan kerelaannya,perkahwinan itu adalah sah.
Ini kerana sekufu merupakan hak perempuan dan walinya,Sekiranya mereka redha menggugurkannya,maka ia tidak perlu dipertikaikan.
Dr Muhammad Uqlah dalam bukunya Nizam al-Usrah menerangkan dengan panjang lebar tentang kriteria dan perkara yang dirai berkenaan dengan kufu’,
Antaranya Islam,agama,keturunan,merdeka,keadaan seseorang,sifat dan pekerjaan,selamat dari cacat cela,umur yang hampir sama,berakal dan kefahaman serta pengetahuan yang hampir sama.
Rasulullah SAW bersabda :
“Pilihlah tempat yang baik untuk meneruskan keturunanmu dan kahwinkanlah mereka yang sekufu’ dan kahwinkanlah mereka.”
Riwayat al-Hakim (2/163)
Mengahwini Anak Dara
Maksud anak dara ialah perempuan yang belum berkahwin.Hal ini berdasarkan hadith,
Rasulullah SAW bersabda :
“Hendaklah kamu berkahwin dengan perawan kerana mereka lembut tutur katanya dan melahirkan anak yang ramai serta redha dengan yang sedikit.”
Riwayat Ibn Majah (1860)
Sunat pasangan itu anak dara yang belum pernah dikahwini kerana jiwa manusia sememangnya senang bermesra dengan pasangan yang belum pernah dipunyai.
Antara faedah ini ialah bagi melindungi keluarga itu daripada apa yang boleh mengeruhkan suasana hidupnya serta boleh membabitkannya dalam permusuhan dan pertengkaran yang boleh menyebarkan pelbagai masalah.
Pada masa yang sama,perkahwinan itu boleh mengeratkan hubungan kasih sayang antara kedua suami isteri,disebabkan tabiat semula jadi anak dara.
Perasaan kasih sayang serta kemesraan terhadap orang yang pertama dalam hidupnya sebagai suami isteri yang dikenali serta berhubungan rapat dengannya.
Sebaliknya,dengan perempuan yang pernah berkahwin (janda),berkemungkinan ia tidak mendapati pada suami kedua kemesraan yang cukup,kasih sayang dan hubungan rapat serta jujur antara kedua-dua hati mereka.
Semua boleh terjadi disebabkan perbezaan yang besar antara tindak-tanduk,akhlak suami pertama dan layanan suami kedua.
Mengahwini Perempuan Yang Subur
Seorang perawan dikenalpasti kesuburannya melalui kaum keluarga,iaitu saudara,emak,saudara sebelah ibu dan sebelah bapanya.
Begitu juga,seorang lelaki yang diketahui kesuburannya melalui kaum keluarganya.Hal ini berdasarkan Hadith,Rasulullah SAW bersabda :
“Kahwinilah perempuan yang subur serta penyayang kerana aku berbangga denganmu terhadap umat yang lain pada hari kiamant kelak.”
Riwayat Ahmad dan al-Hakim (2/162)
Kesimpulannya,melayari alam rumah tangga bukanlah mudah seperti yang disangka.Ianya memerlukan komitmen yang tinggi di antara kedua-dua belah pihak.
Jika salah seorang diantara mereka tidak memberikan komitmen yang baik,sudah pasti rumah tangganya akan mudah hancur dan akan menyebabkan berlakunya perceraian kerana tercetusnya pertikaian dan pergaduhan secara berterusan disebabkan timbulnya salah faham.
Justeru itu,pemilihan pasangan yang baik perlu kepada kajian dan penelitian yang mendalam supaya perkahwinan yang didirikannya itu tidak mudah berlakunya perselisihan faham dan perceraian.
RUJUKAN :
AL-FIQH AL-MANHAJI KEKELUARGAAN ISLAM DALAM FIQH AL SYAFI’I
DR ZULKIFLI MOHAMAD AL-BAKRI