Mutakhir ini,pertumbuhan dan perkembangan pusat-pusat rawatan Islam,semakin lama semakin mendapat tempat dlm kalangan masyarakat kita.
Satu perkembangan yang sangat baik kerana masyarakat kita mula meninggalkan kaedah rawatan yang tidak syar’ie dan mula beralih kepada rawatan Islam.
Namun begitu,ada segelintir pusat rawatan Islam yang kononnya mengaku menggunakan kaedah rawatan Islam,akan tetapi kaedah rawatannya lebih mirip kepada perbomohan dan menyalahi syara’.
Kaedah Rawatan jarak jauh adalah diantara kepelbagaian kaedah rawatan yang dipraktikkan di pusat-pusat rawatan Islam.
Dalam Rawatan Islam,isu utama yang perlu diberikan perhatian adalah dari sudut kesahihan dan keharusan sesuatu kaedah rawatan Islam sama ada ianya berlandaskan kepada syariat atau menyalahinya.
Maksud “Rawatan Jarak Jauh”
Kaedah Rawatan Jarak Jauh adalah merujuk kepada kaedah rawatan yang dilakukan untuk merawat pelbagai jenis penyakit tanpa kehadiran pesakit atau merawat rumah dan bangunan tanpa kehadiran perawat ke tempat tersebut.
Rawatan jarak jauh ini boleh berlaku dalam banyak keadaan,tetapi pada kebiasaannya rawatan dijalankan tanpa perawat melihat pesakit atau pergi ke sesuatu tempat.
Pandangan Yang Mengharuskan
Diharuskan untuk menggunakan kaedah rawatan jarak jauh jika terdapat keuzuran dan kepayahan dari sudut keengganan pesakit untuk datang berjumpa dengan perawat bagi mendapatkan rawatan akibat daripada masalah dan penyakit yang dialaminya,
Seperti masalah gangguan,terkena sihir yang memungkinkannya untuk tidak dapat bergerak kemana-mana atau boleh mendatangkan kecederaan jika bersama dengan orang ramai dan lain-lain lagi.
Disamping itu,diharuskan juga untuk menggunakan kaedah rawatan ini dalam situasi perawat dan pesakit berhubung secara langsung melalui alat telekomunikasi dalam keadaan kedua-dua belah pihak berada dalam keadaan sedar.
Walaupun begitu,dari sudut perlaksanaan kaedah ini,perawat perlu menggunakan ruqyah al-shariyyah dan menggunakan bahan rawatan yang dibenarkan dan menghindari daripada menggunakan jampi yang mengandungi unsur syirik dan pemujaan kepada selain Allah serta menggunakan bahan-bahan yang diharamkan oleh Islam.
Dalam situasi yang lain pula,amalan solat hajat serta mendoakan kesembuhan bagi pesakit juga termasuk dalam kaedah rawatan jarak jauh.Melalui amalan ini,ia adalah diharuskan dan amat digalakkan,
Bahkan Rasulullah SAW sendiri menyuruh umatnya untuk mendoakan kesejahteraan sahabat seislamnya yang lain,dan adalah lebih berkesan jika doa yang dipanjatkan itu tidak diketahui oleh sahabatnya itu melainkan hanya Allah SWT sahaja yang mengetahui.
Pandangan Yang Mengharamkan
Diharamkan menggunakan kaedah rawatan jarak jauh jika tidak melibatkan hubungan secara langsung antara perawat dan pesakit atau menggunakan perantaraan makhluk halus.
Pada kebiasaannya perawat akan menjalankan rawatan selepas mendapat keizinan atau maklumat daripada pesakit atau daripada pihak keluarga.
Apabila tibanya waktu malam,pesakit akan dihadiri oleh seseorang yang tidak dikenali atas tujuan untuk merawat pesakit.
Dikatakan bahawa,keadaan orang yang hadir itu menyerupai seorang syeikh, berpakaian cantik, berjubah putih serta berserban sambil memegang tasbih dan pelbagai lagi keadaan yang seumpama dengan nya.
kadang-kadang,perawat itu meminta kepada pesakit agar diletakkan barang-barang yang dipinta olehnya di bawah bantal atas tujuan rawatan.
Cara rawatan yang sedemikian,jelas mengaitkan dengan pertolongan makhluk ghaib yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar.
Kaedah yang sedemikian amat mirip dengan kaedah rawatan perbomohan,maka ia perlu dijauhi.Cara rawatan sedemikian mempunyai unsur mistik dan luar biasa serta rawatannya tidak dilakukan seperti mana rawatan yang normal.
Pandangan Secara Keseluruhan
Kaedah Rawatan Jauh seeloknya tidak perlu digunakan walaupun diharuskan atas beberapa alasan:
Pertama :Mengelak daripada timbulnya fitnah serta menghindarkan pandangan serong masyarakat terhadap kaedah Rawatan Islam.
Umumnya mengetahui,apabila disebut kaedah pendekatan Rawatan Islam,ianya perlu mengikuti serta menepati lunas-lunas syariah serta bertepatan dengan amalan Nabi SAW,para sahabat serta para ulama’ salaf.
Nabi muhammad SAW sendiri tidak pernah membantu merawat para sahabat melalui cara yang sedemikian.Bahkan,Rasulullah SAW merawat mereka secara langsung atau baginda memberi nasihat dengan menyatakan cara dan siapa yang patut dirujuk untuk merawat penyakit yang demikian.
Kedua : Dari sudut keberkesanan dalam memohon kesembuhan daripada Allah SWT,adalah dengan cara berlakunya pertemuan secara langsung antara perawat dan pesakit.
Apabila berlakunya pertemuan antara kedua-dua belah pihak,maka ia akan mengelakkan berlakunya salah faham dalam kaedah pendekatan rawatan yang dilakukan.
Walaupun begitu,tidak dinafikan kesembuan itu adalah milik Allah SWT,bagaimana serta cara untuk berikhtiar mencari penawar itu adalah bergantung kepada usaha manusia itu sendiri tetapi masih perlu berpandukan kepada syara’.
Ketiga :Sekiranya menggunakan kaedah rawatan jarak jauh dengan perawat tersebut mendakwa bahawa akan ada seseorang yang hadir untuk memberikan rawatan.
maka kaedah yang sedemikian menyerupai amalan perbomohan.Dukun,bomoh,mahupun pawang secara kebiasaannya sering menggunakan perantaraan jin sebagai jalan untuk melaksanakan gerak kerja mereka.
Sedangkan,meminta pertolongan kepada puak-puak jin ini akan semakin menambahkan lagi kesesatan dan jauh dari pertolongan Allah.
Firman Allah SWT dalam ayat ke 6 surah Al-Jin:
“وَأَنَّهُ كَانَ رِجَالٌ مِنَ الْإِنْسِ يَعُوذُونَ بِرِجَالٍ مِنَ الْجِنِّ فَزَادُوهُمْ رَهَقًا”
Maksudnya:“Dan bahawa sesungguhnya adalah (amat salah
perbuatan) beberapa orang dari manusia, menjaga
dan melindungi dirinya dengan meminta pertolongan
kepada ketua-ketua golongan jin, kerana dengan
permintaan itu mereka menjadikan golongan jin
bertambah sombong dan jahat.”
Keempat : Pertemuan antara pesakit dengan perawat
mewujudkan hubungan antara dua insan iaitu hubungan antara
pesakit yang memerlukan bantuan dan pertolongan dengan
perawat yang berusaha untuk menghulurkan bantuan dan sama-
sama memohon kesembuhan daripada Allah SWT. Pada masa
yang sama menghubungkan silaturrahim antara mereka.
Kesimpulannya,kaedah rawatan jarak jauh sememangnya ada digunakan oleh sesetengah pusat perubatan Islam di malaysia,namun,kaedah ini bukanlah satu kaedah yang menjadi keutamaan,
bahkan ia menjadi jalan terakhir untuk digunakan selepas diketahui pesakit mengalami kesusahan dan kesulitan untuk berjumpa dengan perawat atas beberapa sebab yang tidak dapat dielakkan.Antaranya,disebabkan keuzuran,kepayahan,dan keengganan pesakit untuk berjumpa perawat dan sebagainya.
Kaedah yang paling baik dan berkesan adalah berjumpa secara langsung antara perawat dan pesakit.Seeloknya kita berusaha untuk mengelakkan daripada menggunakan teknik atau kaedah yang meragukan dan menimbulkan salah faham dalam kalangan masyarakat.
Rujukan :
1.http://www.muftins.gov.my/v1/en/2019/06/24/rawatan-jarak-jauh/
2.http://masauntukislam.blogspot.com/2017/04/hukum-perubatan-islam-jarak-jauh.html?m=1
Faham tu akhi …
So better elakkan yea rawatan berbentuk begini?
Yup, lebih mengundang banyak fitnah
Seeloknya kaedah rawatan yang terbaik adalah kita berjumpa secara bersemuka antara perawat dan pesakit dan ianya bertepatan dengan kaedah yang digunakan oleh Rasulullah SAW.
Baru tahu ada rawatan secara jarak jauh ni. Terima kasih atas perkongsian ya akhi.
Sama² tu akhi