Pada awal kemunculan Islam di kota Makkah, berlaku persaingan pengaruh dalam mendominasi corak dan cara berfikir umat Islam.
Pola berfikir pemuda-pemuda Islam pada ketika itu cuba diterapkan dan diselarikan dengan kisah-kisah yang ada di dalam Al-Quran oleh Rasulullah SAW.
Namun begitu, golongan kuffar tidak menyukainya, lalu cuba dibawa kisah-kisah dan hiburan yang bersifat fantasi dan tidak logik.
Nadhir Al-Harith antara tokoh Quraisy yang gemar mengganggu fokus utama umat Islam dengan menyajikan kisah-kisah yang dibawa dari Parsi bagi mengelakkan Al-Quran kekal di dalam hati umat Islam ketika itu.
Suka Mendengar Kisah Fantasi
Manusia sifatnya sangat suka mendengar kisah dan cerita.
Lebih- lebih lagi jika cerita tersebut mempunyai pelbagai unsur kesaktian dan ada kaitan dengan perkara-perkara yang mencarik adat.
Olahan cerita yang cuba diterapkan oleh Nadhir Al-Harith dalam penceritaannya adalah berbentuk fantasi, tidak logik pada akal, khayalan dan mitos yang tidak pernah wujud.
Watak dan karakter seperti Nadhir Al-Harith ini wujud di setiap zaman. Ia juga boleh berlaku kepada golongan agamawan.
Terkadang ada segelintir agamawan gemar merekayasa atau mengembar-gemburkan kesaktian para wali melebihi kisah dakwah dan perjuangan Rasulullah SAW.
Seolah-olah para wali itu setaraf dan melebihi maqam Rasulullah SAW.
Tidak salah untuk bercerita tentang mereka, tetapi seeloknya bersederhanalah.
Utamakanlah kisah para Anbia’ dan ibrah-ibrah yang ada di dalam Al-Quran.
Terkadang sebahagian masyarakat kita gemar mendengar kisah para wali bukan asbab amal soleh yang dilakukan oleh mereka,
Akan tetapi tertarik dengan kesaktian yang dimiliki oleh para wali.
Hedonisme Berlebihan Menghakis Iman
Antara hiburan masyarakat Arab dahulukala adalah gemar mendengar syair-syair Arab yang digubah melalui bahasa puitis dan indah.
Mereka juga boleh dianggap idola kepada penduduk Mekah dan apabila didendangkan syair itu, maka terpegun dan terpengaruhlah sekalian kaum.
Mereka menggunakan kepakaran mereka menggubah syair untuk menyaingi Al-Quran yang dibawa oleh Baginda Nabi s.a.w.
Dan antara salah seorang yang tegar menentang Rasulullah SAW adalah Nadhir Al-Harith.
Setiap kali Rasulullah SAW giat memperdengarkan Al-Quran kepada orang ramai,
Beliau turut juga memperdengarkan kepada orang ramai syair-syair dan kisah-kisah purbakala bagi menyaingi Al-Quran.
Hedonisme yang dicipta oleh mereka itu mampu menghilangkan rasa cinta umat Islam terhadap kisah-kisah yang ada di dalam Al-Quran sepertimana hedonisme yang wujud pada zaman kita ini.
Perasaan ingin ikut trend semasa, trend viral dan kisah-kisah artis yang diminati, lebih membuatkan kita terpegun dan terpengaruh,
Sehingga melekat ke dalam jiwa kita berbanding mendengar kisah-kisah yang ada di dalam Al-Quran.
Ketiadaan jiwa penghayatan dalam memahami Al-Quran,
Akan membuatkan kita bermudah-mudah melakukan dosa-dosa kecil dan memandang remeh tentang hukum-hukum yang terkandung di dalam Al-Quran.
Interaksi Dakwah Baginda Terhadap Hiburan
Menggerakkan jentera dakwah memerlukan kepada proses pengamatan realiti serta kajian yang menyeluruh agar strategi dakwah yang diatur menjadi lebih tersusun dan mempunyai objektif.
Olahan dakwah yang dibawa perlu dalam bentuk mesej yang ringan dan mudah difahami oleh masyarakat agar daya intelektual masyarakat dapat dikembangkan.
Meraikan adat berhibur yang menjadi budaya masyarakat telah sedia berdarah daging perlu secara berpada.
Kita perlu bersaing secara terbuka dengan penuh berdikari.
Nadhir Al-Harith cuba meniru rentak dan gaya Dakwah Rasulullah SAW,
Namun tidak berhasil kerana pembawaanya bukan berteraskan hujjah dan dalil, tetapi hanya sekadar gimik.
Terkadang ada segolongan Islamis gemar menciplak produk hiburan orang lain kemudian diselitkan gimik-gimik berteraskan Islamik semata tanpa ada pembawaan yang tersendiri.
Tidak kurang juga ada yang hanyut atas alasan mahu berasimilasi dengan budaya setempat dan trend semasa.
Natijahnya, hala tuju mad’u menjadi keliru dan bercelaru.
Kita perlu mempunyai brand tersendiri, mesejnya yang tersendiri dan jenama yang tersendiri agar mereka yang melihat pembawaan kita tidak terkeliru.
Sebagaimana gagasan idea yang dibawa oleh Nabi SAW yang sentiasa berteraskan hujjah dan logik akal dalam memberikan kefahaman agama kepada masyarakat,
Tanpa perlu meniru atau menciplak idea luar demi untuk meraih pengikut yang ramai.
Kesimpulannya, membina kefahaman Islam dalam kalangan masyarakat terutamanya golongan anak-anak muda, bukanlah satu perkara yang mudah.
Kita mesti mengurus mereka dengan baik,kena tahu seni interaksi agar mereka tidak semakin jauh.Kebanyakkan dari mereka bukanlah golongan liberal tetapi orientasi suasana yang membentuk pemikiran mereka.
Kita mestilah bersifat “tersendiri”. Tidak terkesan dengan suasana sekeliling. Apa yang boleh kita lakukan adalah terus konsisten memandaikan umat sepertimana yang telah dilakukan oleh Rasulullah SAW dengan membawa dalil dan hujjah yang kuat.
Wallahua’lam
RUJUKAN :
1.Tafsir Fi Zilal Quran, Surah Luqman ayat 6-7
2.Feqh Sirah Nabawiyyah
Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang
3.Artikel ” Hedonisme Di Tanah Arab”
Tulisan Ustaz Mujahid Ir Fadzil
4.Sirah Al Rahiq Al-Makhtum
Syeikh Safiyurrahman al-Mubarakfuri