Apa Itu Revolusi Industri 4.0?
Sebelum kita pergi ke revolusi industri 4.0, mari kita lihat jenis-jenis industri dan permulaannya pada gambarajah di bawah.
Seperti yang anda lihat, terdapat empat industri yang mengalami perubahan berikutan zaman yang serba moden.
- Industri 1.0 – Menggunakan mesin berkuasa wap
- Industri 2.0 – Menggunakan tenaga elektrik untuk menghasilkan pengeluaran dalam skala besar.
- Industri 3.0 – Menggunakan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) untuk terus mengautomasikan proses pembuatan.
- Industri 4.0 – Menghubungkan objek fizikal dan sistem pemprosesan menggunakan rangkaian internet untuk perniagaan dan kehidupan seharian.
Secara mudahnya, Revolusi Industri 4.0 menuju ke arah tenaga robotik untuk memudahkan urusan manusia.
Pasti anda tertanya-tanya apakah kesan daripada revolusi ini?
Terdapat kesan baik dan buruk yang boleh diambil untuk dijadikan panduan dan menambah lagi pengetahuan berkenaan industri ini.
Kesan Revolusi Industri 4.0
Kesan Baik
- Pencarian maklumat yang mudah dan tanpa had menggunakan rangkaian internet dan hanya memerlukan peralatan seperti telefon pintar, laptop, komputer dan alat-alat yang mempunyai capaian internet.
- Memaksimakan proses pembuatan terutamanya di kilang dengan bantuan mesin automatik.
- Penambahbaikan dalam bidang perubatan yang sedikit sebanyak telah menggunakan mesin robotik dalam melakukan pembedahan.
- Capaian komunikasi menjadi lebih mudah seperti Facebook, Whatsapp, Telegram dan media sosial yang lain.
- Urusan pengangkutan yang semakin mudah seperti Grab, Foodpanda dan lain-lain.
- Memudahkan urusan pemasaran secara online untuk pernigaan besar mahupun kecil-kecilan.
- Membantu pertumbuhan ekonomi ke arah digital.
Kesan Buruk
- Penukaran 70% tenaga manusia kepada tenaga robotik dan mesin.
- Masalah pengangguran yang meningkat.
- Peningkatan jenayah siber seperti scammer dan pencuri data.
- Penggunaan gajet yang berlebihan terutamanya pada golongan muda.
Ringkasnya, perkembangan Revolusi Industri 4.0 dan kesannya terhadap sosio-ekonomi sesebuah negara tidak boleh dipandang ringan.
Selain dari kesan positif terhadap pertumbuhan ekonomi dan memudahkan kehidupan manusia, revolusi tersebut juga mempunyai sisi negatif yang perlu diberi perhatian oleh segenap lapisan masyarakat.
Walaupun Malaysia belum mencapai status negara maju yang dipengaruhi oleh teknologi Revolusi Industri 4.0, namun kesannya sudahpun mula dirasai.
Sebagai contoh, perkhidmatan pengangkutan Grab yang menawarkan kos yang efektif serta memudahkan para pengguna sedikit sebanyak menggugat kedudukan teksi sebagai salah satu mode pengangkutan di negara ini.
Untuk jangka masa panjang, penekanan mestilah diberi kepada sektor pendidikan supaya tenaga kerja yang dihasilkan melalui sistem pendidikan negara dapat memenuhi keperluan pasaran pekerjaan berteraskan Revolusi Industri 4.0. Ini bagi membantu lepasan graduan yang baru untuk menghadapi dunia pekerjaan.
Kesimpulannya, Kemajuan teknologi dalam Revolusi Industri 4.0 tidak akan berhenti dan akan terus berkembang. Oleh itu, golongan muda terutamanya haruslah mengambil tahu berkenaan revolusi ini kerana tonggak kemajuan negara terletak di bahu anda. Cabaran yang bakal dihadapi tidak mudah tetapi dengan kerjasama semua pihak, Malaysia dapat mencapai status negara maju dengan lebih pantas.
Menarik pengkongsian tentang kemodenan & kecanggihan.Semoga sejajar dengan modal insan kelak.