Jenis Pencen Dan Cara Mendapatkan Penyata Pencen

Hargai Kami, Kongsi Info Ini Pada Rakan Anda !
Share on Facebook
Facebook
Tweet about this on Twitter
Twitter
Print this page
Print

Bermulanya 1 November 2015, Kumpulan Wang Persaraan (KWAP) telah dipertanggungjawabkan untuk menguruskan pemprosesan serta bayaran faedah persaraan daripada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA). KWAP yang bertindak sebagai ejen pengurusan persaraan ditugaskan untuk menguruskan segala dokumen persaraan, membuat pengiraan faedah persaraan, membuat bayaran faedah persaraan serta memberi khidmat pelanggan tertakluk kepada dasar yang ditetapkan oleh JPA.

Jenis – Jenis Pencen Yang Terdapat di Malaysia bagi Kakitangan Awam adalah seperti berikut:

1. Persaraan Paksa Dibawah Seksyen 10 Akta 227/239

  • Persaraan jenis ini melibatkan pegawai atau kakitangan yang telah mencapai umur 55 atau 56 tahun dan dikehendaki bersara dari tugas atau jawatan hakiki di bawah Seksyen 10 (1).
  • Ia merupakan persaraan wajib setelah seseorang pegawai genap berumur 55 atau 56 tahun bagi mereka yang telah dilantik berkhidmat dengan kerajaan sebelum 1.10.2001 dan telah diberi pilihan / opsyen melalui Pekeliling Perkhidmatan Bil. 3 Tahun 2001 untuk  memilih samada bersara wajib  pada umur genap 55 atau 56 tahun.
  • Walau bagaimanapun, syarat ini tertakluk kepada beberapa situasi yang berbeza. Sekiranya seseorang pegawai atau kakitangan itu sedang berhadapan dengan tindakan tatatertib mahupun perbicaraan mahkamah atau jenayah, di mana ia mungkin disabitkan kesalahan atau proses dibuang kerja belum selesai, pegawai tersebut tidak akan dibenarkan bersara. Perkhidmatan pegawai tersebut akan dilanjutkan dan ia dikategorikan sebagai cuti tanpa gaji sehingga kes tersebut diputuskan oleh Lembaga tatatertib

2. Persaraan Kerana Tidak Berupaya Menjalankan Tugas Kerana Sakit Dibawah  Seksyen 10 (5)(a)

  • Pegawai atau kakitangan yang telah didapati tidak lagi berupaya melaksanakan tugas rasmi jawatan disebabkan ketidakupayaan tubuh serta kelemahan fikiran yang kekal dan telah mendapat perakuan dari Lembaga Perubatan. Perakuan tersebut perlu dikemukakan kepada Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam atau Setiausaha Kerajaan Negeri sebelum pegawai tersebut dibersarakan seperti yang termaktub dalam Pekeliling Perkhidmatan Bil. 5 Tahun 1995. Pegawai berkenaan akan menerima pencen bersama faedah persaraan yang tidak kurang daripada satu perlima daripada gaji terkini atau gaji terakhir mereka layak diberi pada tarikh persaraan.

3. Jawatan Yang Disandang Dihapuskan [Seksyen 10 (5)(b)]

  • Apabila jawatan yang sedang disandang oleh seseorang samada pegawai atau pekerja berpencen dimansuhkan, maka penyandang tersebut hendaklah dibersarakan.

4. Penyusunan Semula Sesebuah Organisasi [Seksyen 10 (5)(c)]

Sekiranya berlakunya penyusunan semula dalam sesebuah organisasi, ia boleh mengakibatkan sesetengah jawatan yang telah diluluskan kepada sebuah agensi dimansuhkan kerana ianya tidak diperlukan lagi. Maka, pegawai atau pekerja berpencen yang terlibat dalam pemansuhan jawatan tersebut perlulah dibersarakan.

5. Pekerjaan Seseorang Pegawai Atau Pekerja Telah Ditamatkan Demi Kepentingan Awam [Seksyen 10 (5)(d)]

Ketua Jabatan yang mengetahui pegawai atau pekerjanya berkelakuan yang menjejaskan kepentingan awam namun tiada sebarang tindakan disiplin yang berkesudahan dengan buang kerja ke atas mereka yang terbabit, hendaklah mereka ini dibersarakan. Pihak berkuasa pencen akan menentukan faedah persaraan yang akan diperolehi oleh mereka berdasarkan satu kadar yang disusutkan.

6. Memiliki Kewarganegaraan Asing [Seksyen 10 (5)(e)]

Pegawai atau pun pekerja berpencen yang dilantik pada 16.5.1986 atau tarikh selepasnya, hendaklah dibersarakan sekiranya mereka memiliki serta menggunakan hak kewarganegaraan asing disebabkan oleh alasan selain dari perkahwinan / telah pun mengisytiharkan diri mereka taat dan setia kepada negara selain negara Malaysia / mereka ini telah pun dilucutkan hak kewarganegaraan. Mereka yang memiliki kewarganegaraan asing ini tidak layak diberi atau menuntut sebarang faedah persaraan.

7. Memberi Sebarang Maklumat Palsu Bagi Maksud Pelantikan Anggota Ke Dalam Perkhidmatan Awam [Seksyen 10 (5)(f)]

Sekiranya seorang pegawai atau pekerja berpencen yang dilantik pada atau selepas tarikh 12.4.1991 terbukti telah memberi maklumat palsu bagi maksud pelantikan mereka semasa menyertai perkhidmatan awam, mereka ini hendaklah dibersarakan dengan syarat mereka telah diberi peluang membuat representasi yang munasabah terhadap kes yang dihadapi.

8. Persaraan Di Atas Kehendak Pihak Kerajaan Atau Menteri [Seksyen 11 Akta 227/239]

Pegawai atau pekerja berpencen boleh dibersarakan atas faktor – faktor tertentu dan pegawai atau pekerja berpencen tersebut mestilah bersetuju dengan persaraan tersebut. Persaraan tersebut boleh berlaku disebabkan faktor – faktor berikut :

  • Demi Kepentingan Negara [Seksyen11(a)(i)]

Seseorang pegawai atau pekerja berpencen yang sedang berkhidmat dilantik untuk menjawat jawatan lain di bawah kuasa melantik yang berbeza dan dipersetujui oleh pegawai atau pekerja berpencen, maka mereka boleh dibersarakan demi kepentingan negara

  • Demi Kepentingan Perkhidmatan Awam atau Badan Berkuasa Berkanun atau Pihak Berkuasa Tempatan

Seseorang pegawai atau pekerja berpencen yang berprestasi rendah atau merosot bagi satu tempoh yang agak lama atau berhadapan dengan masalah kesihatan yang berterusan serta berpanjangan tetapi tidak perlu dihadapkan ke Lembaga Perubatan boleh dibersarakan sekiranya mereka bersetuju dengan keputusan tersebut.

9. Persaraan Pilihan Di Bawah Seksyen 12 Akta 227/239

Seseorang pegawai atau pekerja berpencen yang telah disahkan dalam jawatan serta diluluskan Pemberian Taraf Berpencen boleh memilih untuk dibersarakan sekiranya telah berumur 40 tahun dan ke atas. Mereka ini hendaklah telah berkhidmat tidak kurang daripada 10 tahun dengan perkhidmatan awam. Permohonan untuk bersara pilihan mestilah disokong oleh Ketua Jabatan dan perlu dikemukakan dalam tempoh 3 bulan dari tarikh diperakukan untuk bersara oleh jabatan terakhir. Bagi pegawai gred 27 dan ke atas mestilah mengemukakan laporan tapisan keutuhan Badan Pencegah Rasuah sebelum bersara.

10. Persaraan Kerana Penswastaan Agensi Kerajaan Di Bawah Seksyen 10 (5)(b), 12 dan 12A/13 Akta 227/239

Sekiranya sesebuah agensi awam atau sebahagian daripadanya telah diswastakan, pegawai atau pekerja berpencen boleh dibersarakan dengan syarat mendapat kelulusan kerajaan. Walaubagaimanapun, persaraan mereka mestilah berasaskan pilihan yang telah dibuat melalui opsyen yang ditawarkan seperti :

  • Sekiranya pegawai atau pekerja berpencen menolak tawaran untuk berkhidmat dengan syarikat, mereka ini hendaklah dibersarakan kerana jawatan yang dipegang telah dimansuhkan di bawah Perenggan 10(5)(b) Akta 227/239  ; atau
  • Sekiranya pegawai atau pekerja berpencen bersedia menerima untuk berkhidmat dengan syarikat, mereka ini hendaklah dibersarakan secara bersara pilihan di bawah Seksyen 12 Akta 227 / 239; atau
  • Seorang pegawai atau pekerja berpencen yang berumur kurang daripada 45 tahun bagi perempuan dan 50 tahun bagi lelaki semasa tarikh kuat kuasa penswastaan, telah menerima tawaran untuk berkhidmat dengan syarikat, mereka ini dibolehkan untuk bersara berdasarkan Seksyen 12A Akta 227 atau Seksyen 13 Akta 239. Mereka yang ingin bersara akan diberi pilihan sama ada memilih i. Skim A (Subseksyen 12A(2) / 13(2) Akta 227); atau ii. Skim B (Subseksyen 12A(3) Akta 227 atau Seksyen 13(3) Akta 239)

Cara Mendapatkan Penyata Pencen

  • Layari portal berikut https://apps.jpapencen.gov.my/penyatabayaran
  • Masukkan nombor kad pengenalan tanpa dash (-)
  • Masukkan nombor akaun pencen
  • Masukkan tahun pencen dan klik butang Hantar
  • Penyata pencen akan dipaparkan
  • Klik butang Cetak PDF untuk mencetak penyata pencen
  • Sekiranya telah selesai mencetak, klik butang Log Keluar

Pesara boleh mendapatkan maklumat – maklumat terkini berkaitan persaraan dengan melayari laman Facebook Bahagian Pasca Perkhidmatan.

Itawrah

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *