Perceraian yang berlaku dalam sesebuah perkahwinan adalah satu perkara yang menakutkan dan igauan ngeri bagi setiap pasangan.
Pasangan yang bercerai kebanyakkannya tidak mematuhi adab pergaulan yang digariskan oleh Islam.
Ekoran daripada itu,berlakulah kebencian dan semakin bertambah buruk sehingga tiada lagi ruang untuk berbaik-baik dan tiada lagi cara untuk mengekalkan persefahaman hidup bersama.
Talaq Raj’i
Talaq raj’i ialah talaq yang boleh dirujuk dalam waktu iddah iaitu talaq satu atau talaq dua.
Suami berhak untuk merujuk isteri kembali kepada pernikahan yang asal semasa dalam iddah.
Firman Allah SWT :
ٱلطَّلَٰقُ مَرَّتَانِ ۖ فَإِمْسَاكٌۢ بِمَعْرُوفٍ أَوْ تَسْرِيحٌۢ بِإِحْسَٰنٍ
Maksudnya :”Talaq (yang boleh dirujuk kembali itu hanya)dua kali.Sesudah itu,bolehlah ia (rujuk dan)memegang terus (isterinya itu) dengan cara yang sepatutnya atau melepaskan (menceraikannya) dengan cara yang baik.”
(Surah Baqarah Ayat 229)
Talaq Bain
Talaq Bain ialah talaq yang tidak membolehkan suami merujuk semula isterinya walaupun dalam tempoh iddah.
Talaq ini terbahagi kepada dua iaitu Bain Bainunah Sughra (kecil) dan Bain Bainunah Kubra (besar).
Bain Bainunah Sughra
Talaq bain bainunah sughra berlaku dalam empat keadaan :
• Apabila suami melafazkan cerai kepada isteri sebelum disetubuhi.Dalam masyarakat Malaysia,isteri yang diceraikan oleh suami sebelum melakukan hubungan kelamin dikenali sebagai janda berhias.
• Apabila isteri memohon cerai daripada suami dengan bayaran yang telah dipersetujui oleh suaminya.Talaq ini dikenali sebagai talaq Khuluq (tebus talaq).
• Isteri yang telah diceraikan dengan talaq raj’i dan tidak dirujuk semula sehingga habis iddahnya.
• Isteri yang telah diceraikan dengan cara fasakh.
Sekiranya bekas suami yang berkenaan ingin kembali kepada isteri yang telah diceraikan secara bain bainunah sughra,dia perlu mengahwininya semula dengan aqad nikah dan mas kahwin yang baru.Walau bagaimanapun bekas isteri tersebut tidak perlu beriddah sekiranya ingin berkahwin semula dengan bekas suaminya.
Bain Bainunah Kubra
Talaq bain bainunah kubra ialah perceraian yang berlaku dengan talaq tiga sama ada dengan lafaz sekali gus atau lafaz satu demi satu sehingga mencukupi tiga talaq.
Setelah berlakunya perceraian ini,bekas suami tidak boleh berkahwin semula dengan isterinya melainkan bekas isteri memenuhi syarat-syarat berikut :
1.Selesai tempoh iddah.
2.Berkahwin dengan lelaki lain.
3.Berlaku persetubuhan.
4.Berlaku perceraian tanpa paksaan.
5.Selesai tempoh iddah.
Setelah syarat-syarat diatas dipenuhi,barulah bekas suami yang terdahulu boleh berkahwin semula dengan bekas isteri yang diceraikan dengan talaq tiga.Perkahwinan tersebut hendaklah dilakukan dengan akad nikah dan mas kahwin yang baru.
Firman Allah SWT :
Hal ini berdasarkan firman Allah SWT :
فَإِنْ طَلَّقَهَا فَلَا تَحِلُّ لَهُ مِنْ بَعْدُ حَتَّىٰ تَنْكِحَ زَوْجًا غَيْرَهُ ۗ فَإِنْ طَلَّقَهَا فَلَا جُنَاحَ عَلَيْهِمَا أَنْ يَتَرَاجَعَا إِنْ ظَنَّا أَنْ يُقِيمَا حُدُودَ اللَّهِ ۗ وَتِلْكَ حُدُودُ اللَّهِ يُبَيِّنُهَا لِقَوْمٍ يَعْلَمُونَ
Maksudnya : “Kemudian jika si suami mentalaknya (sesudah talak yang kedua), maka perempuan itu tidak lagi halal baginya hingga dia kawin dengan suami yang lain. Kemudian jika suami yang lain itu menceraikannya, maka tidak ada dosa bagi keduanya (bekas suami pertama dan isteri) untuk kawin kembali jika keduanya berpendapat akan dapat menjalankan hukum-hukum Allah. Itulah hukum-hukum Allah, diterangkan-Nya kepada kaum yang (mau) mengetahui.”
( Surah al-Baqarah Ayat 230 )
Kesimpulannya,jenis-jenis talaq yang telah disusun dan digariskan oleh Islam adalah untuk memudahkan serta memberikan manfaat yang sebaiknya kepada setiap pasangan yang ingin bercerai.
Ia juga bertujuan untuk membolehkan pasangan yang ingin merungkai tali perkahwinan tidak mensia-siakan hak kedua-dua suami dan isteri tersebut apabila tiada sebab untuk mereka berdua terus hidup bersama.
Hanya Allah SWT sahaja yang mengetahui akan setiap perkara yang baik-baik dari yang tidak baik dan kepada-Nya dikembalikan semua perkara.
RUJUKAN :
1.AL-FIQH AL-MANHAJI KEKELUARGAAN ISLAM DALAM FIQH AL SYAFI’I
DR. ZULKIFLI MOHAMAD AL-BAKRI
2.MEMASUKI GERBANG PERKAHWINAN
JABATAN KEMAJUAN ISLAM MALAYSIA (JAKIM )