Syariat Islam adalah jalan untuk kita raih penjelasan,panduan dan tunjuk ajar yang berhemah bagi memastikan setiap tindakan kita berada pada landasan yang benar.
Syariat Rujuk adalah sebagai undang-undang dalam Islam yang memberi peluang kepada mana-mana pasangan untuk memuhasabah diri kembali,serta menyesal diatas perbuatannya serta merasai keperitan perpisahan yang terjadi.
Sekiranya suami memilih untuk mengekalkan ikatan perkahwinannya,maka dia boleh kembali kepada isterinya dengan Rujuk yang dihalalkan.
Maksud Rujuk
Rujuk ialah mengembalikan isteri yang ditalak raj’i kepada ikatan perkahwinan yang asal dengan lafaz tertentu.Tidak sah rujuk melainkan dengan lafaz dan sunat dipersaksikan.
• Contoh Lafaz Rujuk
“Aku rujuk akan dikau kepada nikahku yang asal.”
“Aku rujuk isteri aku.”
Walaupun ikatan suami isteri masih ada semasa iddah tetapi mereka tidak boleh bersetubuh kecuali setelah berlaku rujuk yang sah.
Suami juga boleh merujuk isterinya semasa dalam iddah sekalipun isteri tidak bersetuju.Walaubagaimanapun sebaik-baiknya suami meminta persetujuan isteri terlebih dahulu bagi mencapai kebaikan bersama.
Apabila tamat tempoh iddah dan suami isteri berhasrat untuk hidup semula sebagai suami isteri maka mereka perlu bernikah semula,namun baki talaknya kekal.
Contohnya,suami telah menceraikan isteri tetapi tidak rujuk.Apabila berlaku aqad nikah semula,talak masih berbaki dua.
Keadaan Talak Yang Dilafazkan
Talaq yang dilafazkan oleh suami kepada isterinya adalah dalam satu daripada keadaan berikut :
• Suami menceraikan isterinya sebelum persetubuhan
• Suami menceraikan isterinya dengan tebus talaq sama ada sebelum atau selepas persetubuhan.
•Suami menceraikan isterinya selepas persetubuhan dengan talaq satu atau dua.
• Suami menceraikan isterinya dengan talaq tiga.
Talaq Sebelum Persetubuhan
Apabila suami menceraikan isterinya sebelum persetubuhan,perkahwinan terputus sama sekali (البائن),yang tidak boleh dirujuk kerana isteri tidak wajib ber’iddah.
Firman Allah SWT :
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِذَا نَكَحْتُمُ الْمُؤْمِنَاتِ ثُمَّ طَلَّقْتُمُوهُنَّ مِنْ قَبْلِ أَنْ تَمَسُّوهُنَّ فَمَا لَكُمْ عَلَيْهِنَّ مِنْ عِدَّةٍ تَعْتَدُّونَهَا
Maksudnya : “Wahai orang-orang yang beriman, apabila kamu berkahwin dengan perempuan-perempuan yang beriman, kemudian kamu ceraikan mereka sebelum kamu menyentuhnya, maka tiadalah kamu berhak terhadap mereka mengenai sebarang idah yang kamu boleh hitungkan masanya.”
(Surah al-Ahzab :49)
Justeru,isteri yang diceraikan dengan satu atau dua tersebut,tidak halal bagi suaminya melainkan dengan aqad nikah dan mas kahwin yang baru atas pilihan dan persetujuan isteri.
Tetapi,jika isteri itu diceraikan sebelum persetubuhan dengan talaq tiga,dia tidak halal bagi bekas suaminya melainkan isteri itu telah berkahwin dengan lelaki yang lain dan bersetubuh dengannya.
Setelah dia diceraikan dan habis tempoh iddah,barulah bekas suami yang menceraikannya dengan talaq tiga dahulu mengahwininya semula dengan aqad nikah dan mas kahwin yang baru.
Perceraian Dengan Tebus Talaq (الخلع)
Apabila penceraian khulu’ berlaku,perkahwinannya putus sama sekali (البائن),yang tidak boleh rujuk sama ada khulu’ sebelum atau selepas persetubuhan.Sehubungan itu,dia boleh mengahwini bekas isterinya semula dengan aqad nikah dan mas kahwin yang baru.
Perceraian dengan Satu Atau Dua Talaq Selepas Persetubuhan
Apabila isteri diceraikan dengan talaq satu atau dua selepas persetubuhan,suami boleh rujuk kepada isterinya atas kehendaknya sendiri berdasarkan aqad nikah dan mas kahwinnya yang masih wujud,selagi tempoh iddah isteri belum berakhir lagi.
Firman Allah SWT :
وَبُعُولَتُهُنَّ أَحَقُّ بِرَدِّهِنَّ فِي ذَٰلِكَ إِنْ أَرَادُوا إِصْلَاحًا ۚ
Maksudnya :”Dan suami-suaminya berhak merujuknya dalam masa menanti itu jika mereka (para suami ) menghendaki islah (perdamaian).”
(Surah Al-Baqarah Ayat 228)
Firman Allah SWT :
ٱلطَّلَٰقُ مَرَّتَانِ ۖ فَإِمْسَاكٌۢ بِمَعْرُوفٍ أَوْ تَسْرِيحٌۢ بِإِحْسَٰنٍ
Maksudnya :”Talaq (yang boleh dirujuk kembali itu hanya)dua kali.Sesudah itu,bolehlah ia (rujuk dan)memegang terus (isterinya itu) dengan cara yang sepatutnya atau melepaskan (menceraikannya) dengan cara yang baik.”
(Surah Baqarah Ayat 229)
Tujuan memegang terus (isterinya itu) dengan cara yang sepatutunya selepas diceraikan,tidak akan terjadi melainkan dengan rujuk semula.
Begitu juga hadith,daripada umar RA,katanya :
“Rasulullah SAW telah menceraikan Hafsah R.Anha,kemudian Baginda SAW rujuk semula.”
Riwayat Abu Daud (2283)
Cara Rujuk
Cara rujuk memadailah suami berkata kepada isterinya :”Aku rujuki engkau ke pangkuanku dan perkahwinanku.”
Walau bagaimanapun,kata-kata suami ini sunat disaksikan oleh dua orang.
Firman Allah SWT :
وَأَشْهِدُوا ذَوَيْ عَدْلٍ مِنْكُمْ
Maksudnya :”Dan persaksikanlah dengan dua orang saksi yang adil di antara kamu.”
(Surah al-Talaq Ayat 2)
Sehubungan itu,apabila suami rujuk,dia masih mempunyai baki talaq,iaitu dua talaq jika telah menjatuhkan talaq satu dan satu talaq jika talaq dua.
Namun,jika suami tidak rujuk sehingga tempoh akhir iddah berakhir,maka perkahwinannya terputus (البائن).
Tatkala itu,tiada cara lain untuk kembali kepada isterinya melainkan dengan aqad nikah dan mas kahwin yang baru dan pilihan isteri itu sendiri.
Firman Allah SWT :
(وَإِذَا طَلَّقْتُمُ النِّسَاءَ فَبَلَغْنَ أَجَلَهُنَّ فَلَا تَعْضُلُوهُنَّ أَنْ يَنْكِحْنَ أَزْوَاجَهُنَّ إِذَا تَرَاضَوْا بَيْنَهُمْ بِالْمَعْرُوفِ ۗ )
Maksudnya :”Apabila kamu mentalaq isteri-isteri kamu,lalu habis masa iddahnya,maka janganlah kamu (para wali) menghalangi mereka kahwin lagi dengan bakal suaminya apabila telah terdapat kerelaan di antara mereka dengan cara yang ma’ruf.”
( Surat Al-Baqarah Ayat 232 )
Jika hak rujuk bekas suami masih ada,pastilah dia tidak dibenarkan berkahwin dengan mana-mana lelaki yang disukainya.
Kesimpulan Dalam Masalah Rujuk
Dari segi boleh dan tidak boleh rujuk,terbahagi kepada tiga,iaitu :
i.Talaq Yang Boleh Rujuk (الرجعي)
Talaq yang boleh dirujuk bermaksud isteri yang diceraikan dengan talaq satu atau dua,selepas berlaku persetubuhan dan masih dalam iddah.
Hukumnya : Suami isteri boleh rujuk kepada isteri berdasarkan aqad nikah dan mas kahwin yang terdahulu dengan kehendak suami itu sendiri.
Cara Rujuk :
Ulama’ telah khilaf kepada dua pendapat cara untuk rujuk.
Pertama : Dengan cara menyebut atau perkataan.Inilah pendapat Mazhab Syafie dan Hanbali.
Kedua : Boleh rujuk melalui persetubuhan di sisi Jumhur,Hanafi,Maliki, dan riwayat di sisi Hambali.
II.Talaq Ba’in Kecil (البائنة الصغرى)
Talaq ini bermaksud :
•Isteri yang diceraikan dengan satu atau dua sebelum berlaku persetubuhan.
• Isteri yang diceraikan dengan satu atau dua selepas berlaku persetubuhan dan iddah telah berakhir.
• Isteri yang diceraikan secara khulu’.
Hukumnya : Suami tidak boleh rujuk kepada isterinya melainkan dengan aqad nikah dan mas kahwin yang baru dan dengan persetujuan isterinya dan kehendaknya.
iii.Talaq Ba’in Besar (البائنة الكبرى)
Talaq ini bermaksud isteri yang diceraikan dengan talaq tiga sama ada sebelum atau selepas persetubuhan.
Hukumnya : Isteri tidak boleh dikahwini semula oleh bekas suaminya melainkan setelah isteri itu berkahwin dengan orang yang lain,sebagaimana yang telah dijelaskan.
Kesimpulannya,dalam menempuhi kehidupan sebagai pasangan suami isteri sudah semestinya ada pasang surutnya dalam perkahwinan.
Perselisihan faham yang sering terjadi antara suami isteri perlu diuruskan dengan sebaiknya mengikut lunas syara yang telah ditetapkan oleh Islam.
Jadikanlah Islam sebagai matlamat dan cara hidup dalam menguruskan kehidupan Alam Rumah Tangga. Bertindaklah secara bijaksana dan rasional.
Alam perkahwinan yang dibina perlulah dijaga dengan sebaiknya kerana sesungguhnya Allah SWT membenci perpisahan dan perceraian yang terjadi antara suami dan Isteri.
RUJUKAN :
1.AL-FIQH AL-MANHAJI KEKELUARGAAN ISLAM DALAM FIQH AL SHAFI’I
DR. ZULKIFLI MOHAMAD AL-BAKRI
2.MEMASUKI GERBANG PERKAHWINAN
JABATAN KEMAJUAN ISLAM MALAYSIA (JAKIM)