“Panic Attack” merupakan sejenis serangan yang memberikan anda rasa takut yang singkat tetapi cukup untuk membuatkan jantung anda berdegup laju.
Serangan ini serupa dengan gejala yang biasa dialami ketika seseorang menghadapi ancaman, termasuklah:
- Rasa takut yang melampau
- Merasakan sesuatu yang buruk akan berlaku
- Berpeluh atau menggigil
- Gementar
- Jantung berdebar
- Sukar untuk bernafas
- Sakit di bahagian kepala dan dada
“Panic attack” agak berbeza dengan tindak balas rasa takut yang biasa kerana ianya tidak melibatkan ancaman sebenar.
“Panic attack” membuatkan anda sering rasa tidak selesa dan sekaligus dapat menimbulkan stress. Ramai orang percaya bahawa mereka mengalami serangan jantung atau masalah lain yang mengancam nyawa.
Sekiranya anda mengenali seseorang yang mengalami serangan ini, terdapat beberapa perkara yang boleh anda lakukan untuk menolongnya.
1. Sentiasa Bertenang
Menjaga riak wajah dan sentiasa bertenang merupakan salah satu kaedah terbaik yang boleh digunakan untuk membantu.
Serangan ini biasanya tidak memakan masa yang lama. Perasaan takut ini kebiasaannya berlaku antara 5 hingga 10 minit.
Walaupun anda merasa takut untuk mendekati mereka yang terkena serangan ini, kekalkan ketenangan pada riak wajah anda. Sekiranya suara anda kelihatan dapat membantu (dan mereka tidak meminta anda untuk berdiam diri), bicaralah dengan mereka dengan suara yang tenang.
Apa yang perlu anda cakap:
- Meyakinkan mereka bahawa anda akan sentiasa ada di sisi.
- Mengingatkan mereka bahawa serangan itu tidak akan bertahan lama.
- Memberitahu bahawa mereka sebenarnya selamat.
2. Mempelajari Tanda-tanda Amaran
Sekiranya anda belum mempelajarinya, luangkan sedikit masa untuk membiasakan diri dengan tanda-tanda awal kemungkinan serangan ini akan terjadi.
“Panic attack” biasanya bermula dengan:
- Perasaan takut yang melampau
- Sesak nafas atau disebut sebagai “hyperventilation”
- Rasa seperti dicekik
- Jantung berdebar
- Pening dan badan menggigil
Tidak semua orang mengalami serangan ini dengan cara yang sama, jadi anda sebaiknya bertanya tentang tanda-tanda apa yang cenderung mereka alami.
Semakin cepat anda menyedari apa yang berlaku, semakin cepat anda dapat menolong mereka untuk merasa lebih selesa.
3. Fokus Pada Tindakan Berbanding Kata-kata
Suara yang menenangkan diyakini dapat membantu sesetengah individu jika berada dalam situasi ini. Tetapi anda perlu cuba elak dari mengatakan perkara seperti “jangan bimbang” atau bertanya kepada mereka jika mereka baik-baik saja berulang kali.
Sudah tentu anda bermaksud baik, tetapi kata-kata anda mungkin tidak banyak memberi manfaat buat masa ini dan membuatkan mereka rasa lebih tertekan.
Cara menjadikan kata-kata anda lebih menunjukkan tindakan
- Bertanya sama ada mereka mahu meninggalkan tempat ini dan pergi ke tempat lain.
- Mengingatkan mereka untuk terus bertenang dan sentiasa mengawal pernafasan.
- Melibatkan diri dengan mereka dalam perbualan ringan, kecuali mereka mengatakan bahawa mereka tidak mahu bercakap.
4. Mengenal Pasti Masalah Yang Membuatkan Mereka Tertekan
Sesetengah individu sukar untuk berkongsi masalah mereka terutamanya jika melibatkan kesihatan mental, termasuklah “panic attack”.
Ada yang mengelak daripada membicarakan masalah kesihatan mental ini kerana mereka percaya bahawa orang lain tidak akan memahami dan mempercayai apa yang sedang mereka lalui. Sesetengah individu juga bimbang jika dinilai atau diberitahu bahawa apa yang mereka alami bukanlah satu masalah yang besar.
Orang luar kebanyakannya tidak memahami ketakutan yang dialami disebabkan oleh serangan ini dan bahkan menganggapnya tidak logik.
Tetapi tindak balas yang diberikan adalah nyata dan orang yang mengalami serangan ini tidak dapat mengawalnya.
Anda boleh memberikan rasa empati dan tindak balas yang baik dengan mengatakan, “ Sukarnya perkara yang anda alami. Saya minta maaf kerana anda mengalaminya. Beritahu saja apa yang boleh saya lakukan untuk menolong anda. ”
5. Menolong Mereka Untuk Sentiasa Berfikiran Wajar Dengan Grounding Techniques
Teknik yang biasa digunakan untuk membantu anda menjauhkan diri dari memori yang tidak diingini dan emosi yang negatif dikenali sebagai “grounding techniques”.
Teknik ini dapat membantu seseorang itu kekal fokus pada apa yang sebenarnya berlaku dan bukannya ketakutan yang mereka sedang hadapi.
Untuk menolong seseorang sentiasa berfikiran wajar, anda boleh mencuba:
- Sentuhan fizikal, seperti memegang tangan mereka (jika mereka selesa dengannya)
- Memberikan mereka objek yang bertekstur untuk dirasa.
- Mendorong mereka untuk meregangkan badan atau melakukan pergerakan.
- Mendorong mereka untuk mengulangi kata-kata yang menenangkan, seperti “ini terasa mengerikan, tetapi tidak akan menyakitkan saya”.
- bercakap dengan perlahan dan tenang
6. Hormati Keperluan Mereka
Katakan anda berada bersama rakan anda semasa mereka mengalami serangan panik. Apabila selesai, mereka kelihatan lebih tenang tetapi kelihatan letih. Anda mempunyai rancangan untuk pergi ke panggung wayang, yang anda berdua nantikan, tetapi rakan anda meminta anda untuk membawanya pulang.
Secara logiknya, anda mungkin merasa kecewa. Tetapi ingat, rakan anda tidak dapat menjangkakan apa yang berlaku. Dia juga mungkin kecewa dan letih. Dia juga mungkin merasa tidak seronok kerana terpaksa merosakkan rancangan anda, yang dapat membuatkannya menjadi lebih tertekan.
Seseorang yang baru sahaja mengalami serangan ini mungkin tidak mahu berbuat apa-apa selain daripada berehat di rumah dengan tenang.
Bila Perlu Mendapatkan Pertolongan
Ianya terasa menakutkan apabila melihat seseorang mengalami serangan ini, tetapi pada saat mana dan masa yang sesuai untuk anda membawa bantuan tambahan? Sukar untuk mengatakannya.
Mendail nombor kecemasan mungkin kelihatan seperti langkah yang paling selamat, tetapi ini sering menjadikan keadaan lebih tertekan bagi orang yang mengalami serangan ini.
Mungkin anda rasa dengan berada di sisi mereka itu tidak membantu, tetapi itu dapat membuat orang yang mengalami serangan tersebut merasa lebih selamat.
Hubungi talian kecemasan bila:
- Sakit di dada terasa seperti mencengkam dan bergerak ke bahagian lengan atau bahu mereka.
- Gejala berterusan lebih dari 20 minit dan menjadi semakin buruk.
- Sesak nafas yang terjadi tidak menunjukkan tanda-tanda pemulihan.
- Tekanan di bahagian dada berlangsung lebih dari satu atau dua minit
Nak tanyalah..
Kalau orang yang fobia dengan jarum…
Bagaimana yea?
Boleh tenangkan dengan cara ni x
Fobia ni dia lain sikit and memang confirm akan panic bila nampak jarum.
Biasanya kalau fobia yang kritikal, memang memerlukan nasihat doktor pakar dan kena jalani terapi secara berperingkat untuk hilangkan rasa takut dengan jarum tu secara perlahan-lahan
Fobia dengan trauma tu berbeza ka ya?