Cara Bayar Balik Pinjaman PTPTN, Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional atau lebih dikenali sebagai PTPTN merupakan salah satu usaha kerajaan bagi membantu para pelajar yang ingin menyambung pelajaran ke tahap yang lebih tinggi.
Kementerian pendidikan melihat langkah ini sedikit sebanyak dapat membantu golongan pelajar yang datang daripada keluarga berpendapatan rendah untuk menjamin masa depan yang lebih cerah.
Tetapi, menurut akhbar yang diterbitkan oleh New Straits Times pada tahun 2019, sebanyak 375,925 peminjam PTPTN tidak membayar balik hutang mereka.
Oleh itu, mari kita lihat cara-cara untuk anda membayar balik pinjaman PTPTN di bawah.
Cara Bayar Balik Pinjaman PTPTN
1. Pembayaran Di Kaunter
Bagi mereka yang tidak mahu membuat pembayaran secara online, anda boleh terus pergi ke kaunter PTPTN itu sendiri. Selain kaunter PTPTN, anda juga boleh membuat pembayaran di kaunter Bank Islam, Bank Rakyat, CIMB Bank, Bank Simpanan Nasional (BSN) dan juga di pejabat pos.
Anda digalakkan untuk mebuat bayaran balik di kaunter PTPTN itu sendiri untuk mengelakkan cas tambahan sekiranya anda membayar di kaunter lain. Sebagai contoh, Bank Islam mengenakan cas sebanyak RM1.00 setiap kali anda membuat pembayaran.
Pembayaran melalui kaunter kebiasaannya agak lambat kerana anda terpaksa menunggu giliran untuk dipanggil.
2. Melalui Potongan Gaji.
Kaedah pembayaran melalui potongan gaji ini sangat digalakkan bagi peminjam yang telah bekerja. Bagi pekerja tetap di bawah kerajaan, cara ini adalah yang paling mudah kerana anda tidak perlu bersusah payah untuk memikirkan berapa hutang yang perlu dibayar setiap bulan. Untuk maklumat lanjut berkaitan pembayaran melaui potongan gaji, anda boleh lihat di sini https://www.ptptn.gov.my/potongan-gaji-side
Potongan gaji boleh dibuat melaui majikan tempat anda bekerja atau Jabatan Akauntan Negara Malaysia (JANM). Tetapi anda dikehendaki untuk merujuk dahulu kepada pihak PTPTN untuk membincangkan berkenaan jumlah bayaran bulanan dan tempoh bayaran balik.
Anda dikehendaki untuk mengisi satu borang khas untuk diserahkan kepada pihak PTPTN. Boleh lihat pautan ini untuk melihat prosedur yang ditetapkan. https://www.ptptn.gov.my/images/fail/byrn_blk/saluran_byrn_blk/info_byrn_blk_pnjmn_ptgn_gaji.pdf
Bagi yang bekerja di sektor swasta, anda juga boleh membuat pembayaran melaui potongan gaji.
3. Perbankan Internet (Online Banking)
Untuk mereka yang malas untuk membuat pembayaran di kaunter, anda boleh terus membuat bayaran melalui “online banking”.
Hampir semua bank di Malaysia menyediakan perkhidmatan ini seperti Maybank, Ambank, Bank Islam, Public Bank, RHB Bank, Bank Rakyat, Agro Bank, Affin Bank, CIMB, Bank Simpanan Nasional (BSN) dan juga Pos Online.
4. Portal Rasmi PTPTN (FPX)
Di dalam zaman yang mempunyai capaian internet yang tinggi, PTPTN juga turut menyediakan perkhidmatan bayaran balik menggunakan FPX. Ianya boleh didapati melalui laman web PTPTN di https://www.ptptn.gov.my/ionline/#/login
Di antara akaun bank yang terlibat adalah Bank Islam, Bank Rakyat, Public Bank, Maybank, Ambank, Hong Leong Bank, RHB Bank, United Overseas Bank (UOB), Bank Muamalat, Affin Bank, Alliance Bank dan CIMB bank.
Anda boleh melihat baki dan mencetak borang bayaran sejurus selepas anda membuat pembayaran. Anda juga boleh membuat bayaran menggunakan kad kredit seperti visa, Mastercard dan American Express.
5. Akaun 2 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
Cara ini mungkin ramai yang tidak tahu dan ada juga yang baru tahu. Untuk menngunakan cara ini, anda perlulah ada i-akaun KWSP.
Bagi yang masih baru dan belum mendaftar, boleh terus pergi ke cawangan KWSP terdekat untuk membuat permohonan baru. Anda Cuma perlu membawa kad pengenalan sahaja.
Anda boleh membayar PTPTN dengan kaedah pengeluaran KWSP melalui dua cara iaitu yang pertama, dengan mengisi Borang Permohonan Pengeluaran Pinjaman Pendidikan di Pejabat KWSP. Kedua, anda boleh membuat e-pengeluaran melalui online sahaja.
Kesimpulan
Pada zaman yang serba canggih ini, terdapat banyak cara untuk anda melangsaikan hutang. Bagaimana cara bayar sebenarnya bergantung kepada pilihan sendiri dan kemudahan yang ada pada persekitaran. Ingat, hutang itu wajib dibayar. Salah satu sebab utama mengapa anda perlu membayar hutang PTPTN ini dengan kadar segera dan tidak bertangguh adalah untuk memudahkan generasi selepas anda pula untuk membuat pinjaman dengan mudah.
Terima kasih penulis atas perkongsian tentang platform pembayaran PTPTN. Alhamdulillah sangat bermanfaat