عَنْ يَحْيَى بْنِ وَثَّابٍ عَنْ شَيْخٍ مِنْ أَصْحَابِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ الْمُسْلِمُ إِذَا كَانَ مُخَالِطًا النَّاسَ وَيَصْبِرُ عَلَى أَذَاهُمْ خَيْرٌ مِنْ الْمُسْلِمِ الَّذِي لَا يُخَالِطُ النَّاسَ وَلَا يَصْبِرُ عَلَى أَذَاهُمْ
قَالَ أَبُو عِيسَى قَالَ ابْنُ أَبِي عَدِيٍّ كَانَ شُعْبَةُ يَرَى أَنَّهُ ابْنُ عُمَرَ
Daripada Yahya bin Watsab dari seorang syeikh salah seorang sahabat Rasulullah dari Nabi SAW baginda bersabda: “Jika seorang muslim bergaul (berinteraksi sosial) dengan orang lain dan bersabar atas gangguan mereka, adalah lebih baik daripada seorang muslim yang tidak bergaul (tidak berinteraksi sosial) dengan orang lain dan tidak bersabar atas gangguan mereka.”Ibnu Abi Adi berkata: Syu’bah berpendapat syeikh itu adalah Ibnu Umar.
(HR Tirmizi No: 2431) Status: Hadis Shahih
Dakwah memainkan peranan yang sangat penting dalam penyebaran Islam.Ianya perlu dihidupkan agar Islam terus menerus tersebar luas ke serata dunia dan membawa agenda pensyariatan Islam secara menyeluruh meliputi setiap aspek kehidupan manusia.
Islam adalah agama yang berteraskan hujjah dan penerangan.Dialog,bermuamalah,dan saling bersoal jawab adalah penting demi menyampaikan kebenaran Islam kepada masyarakat.Umat Islam perlu dididik dengan ilmu dan tarbiah bagi mencapai kebaikan secara bersama.
Kepentingan Pendakwah Bergaul Bersama Masyarakat
Hadis diatas sangat menekankan akan perlunya kewujudan pendakwah berada di tengah-tengah masyarakat sama ada masyarakat itu beragama Islam atau bukan beragama Islam atau duduk bersama masyarakat yang tidak menghayati Islam adalah suatu perkara yang menjadi satu kemestian.
Kehadirannya menjadi sumber peluang bagi memperolehi kebaikan yang banyak bagi sesiapa yang bersifat positif dan mahu meraihnya.Kewujudan pendakwah dalam kalangan masyarakat adalah suatu keperluan untuk merebut peluang berperanan memperbaiki masyarakat.
Berada bersama kelompok masyarakat melalui pelbagai medium seperti media sosial antaranya group whatsap,telegram,FB,twitter dan sebagainya menjadi medan untuk mendapat ganjaran pahala dengan kita berperanan mencetuskan amal kebaikan dan menjadi pendamai serta bersabar dengan pelbagai karenah ahli.
Uslub Dakwah Yang Berkesan Dalam Mendidik Masyarakat
Hadis diatas telah memberikan gambaran yang sangat jelas kepada kita untuk sentiasa melazimi sifat sabar.Sifat sabar adalah salah satu tuntutan Iman yang perlu ada pada setiap Muslim.
Terlebih lagi jika kita akan berhadapan dengan berbagai macam jenis karenah manusia yang kadang-kadang sangat memerlukan kepada kita untuk sentiasa bersabar dan bersikap tenang serta mampu mengawal emosi dengan baik.
Dakwah itu ada dua keadaan yang secara kebiasaannya akan dihadapi oleh para pendakwah iaitu satu pihak menerima dakwah kita dan satu lagi pihak pula menolak dakwah kita.
Proses untuk menghadapi mereka yang menentang adalah dengan hanya memberikan pengenalan dan menyampaikan dakwah.
Manakala,bagi golongan yang menerima sangat memerlukan kepada bimbingan serta disusuli dengan tindakan yang membina dan membentuk.
Dalam konteks dakwah kita sekarang ini,ia diumpamakan pendakwah bebas yang hanya menyampaikan peringatan semata-mata tanpa ada matlamat untuk membina secara lebih sistematik dan lebih tersusun.
Berbeza dengan golongan yang kedua,mereka tidak hanya menyampaikan dakwah semata,bahkan mereka mempunyai matlamat yang ingin dicapai dan gerak kerja dakwah mereka disusun secara lebih sistematik dan bermanhaj.
Dakwah yang dikaitkan dengan pembinaan dan pembentukan inilah yang ditekankan di dalam gerak kerja dakwah bagi membentuk saf penggerak dakwah yang berasaskan kepada tarbiah yang syumul dan teguh serta tersusun gerak kerjanya.
Pembentukan golongan ini disebut Qa’idah sulbah yang merupakan tulang belakang dalam menggerakkan dakwah.
Golongan ini perlu dibentuk dengan baik agar perjalanan dakwah dapat digerakkan dengan lebih berkesan menepati manhaj gerakan dakwah semasa.
Membina Hubungan Dengan Allah
Benteng dan motivasi yang paling ampuh bagi seorang pendakwah adalah meletakkan pergantungan hanya kepada Allah.
Ini bermakna,seorang petugas Islam akan meletakkan sepenuh pengharapan akhir dalam segenap strategi dan gerak kerjanya kepada Allah.
Begitu juga dalam perjuangan,mereka tidak menjadikan kemenangan itu sebagai satu keutamaan,sebaliknya,mereka bersifat ikhlas dengan bersungguh-sungguh melaksanakan gerak kerja Islam hanya semata-mata ingin meraih redha Allah.
Inilah kelebihan para Amilin yang tidak ada pada musuh-musuh Islam.
Mengurangkan perpecahan Dalam Kalangan Umat Islam
Perpecahan yang berlaku dalam kalangan umat Islam pada hari ini ibarat perpecahan yang semakin merenggangkan hubungan di antara jemaah-jemaah Islam antara satu sama lain.
Sedangkan antara mereka bertanggungjawab untuk saling tampung menampung antara satu sama lain.Bahkan,lebih daripada itu dalam menggapai matlamat perjuangan.
Konsep ukhwah yang utama adalah salamatu as-sadri (berlapang dada) serta ithar (mendahulukan orang lain) dalam ikatan sesama jemaah.
Ia pastinya akan mengurangkan bibit perpecahan apabila masing-masing menerima pandangan antara satu sama lain.
Kesimpulannya,pendekatan dakwah yang strategis sangat ditekankan kepada para Amilin kerana ia mengandungi isu-isu penting dalam gerakan dakwah yang perlu diambil perhatian agar perjalanan dakwah mereka dapat berjalan mengikut sunnah yang benar.
Wujud sesetengah golongan membuat tanggapan yang salah dengan mengatakan agama perlu diperbaharui dan diubah mengikut kesesuaian keperluan zaman.
Sedangkan,bukan agamanya yang perlu diubah untuk disesuaikan dengan perkembangan semasa,tetapi perkembangan semasa yang perlu diserasikan dengan kehendak Agama kerana Agama adalah tetap tiada perubahan padanya.
Tuntutan tajdid (pembaharuan) bukan dengan cara mengubah tabiat dan kedudukan lama,tetapi memperelokkan kembali dengan cara dan uslub yang baru.