حَدَّثَنَا أَنَسُ بْنُ مَالِكٍ قَالَ سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ قَالَ اللَّهُ تَبَارَكَ وَتَعَالَى يَا ابْنَ آدَمَ إِنَّكَ مَا دَعَوْتَنِي وَرَجَوْتَنِي غَفَرْتُ لَكَ عَلَى مَا كَانَ فِيكَ وَلَا أُبَالِي يَا ابْنَ آدَمَ لَوْ بَلَغَتْ ذُنُوبُكَ عَنَانَ السَّمَاءِ ثُمَّ اسْتَغْفَرْتَنِي غَفَرْتُ لَكَ وَلَا أُبَالِي يَا ابْنَ آدَمَ إِنَّكَ لَوْ أَتَيْتَنِي بِقُرَابِ الْأَرْضِ خَطَايَا ثُمَّ لَقِيتَنِي لَا تُشْرِكُ بِي شَيْئًا لَأَتَيْتُكَ بِقُرَابِهَا مَغْفِرَةً
Maksudnya :”Telah menceritakan kepada kami Anas bin Malik RA ia berkata; saya mendengar Rasulullah SAW berkata: “Allah tabaraka wa ta’ala berfirman: “Wahai anak Adam, jika kamu mengharap dan berdoa kepadaKu, Aku pasti akan menghapuskan dosa mu yang telah lalu. Aku tidak akan memperdulikannya lagi. Wahai anak Adam, seandainya dosa-dosamu telah mencapai setinggi langit kemudian engkau meminta ampun kepadaKu nescaya aku akan mengampunimu, dan Aku tidak peduli. Wahai anak Adam, seandainya engkau datang kepadaKu dengan membawa kesalahan sepenuh bumi kemudian engkau menemuiKu dengan tidak menyekutukan Aku dengan sesuatu, Aku pasti akan datang kepadamu dengan ampunan sepenuh bumi.”
(HR Tirmizi NO: 3463) Status : Hadis Hasan
Manusia itu adalah satu makhluk yang suka bersosial, selalu berinteraksi dan berhubung antara satu manusia dengan manusia yang lainnya, untuk memenuhi keperluan dan kehendaknya.
Manusia itu juga tidak lepas daripada melakukan kesalahan dan kesilapan, baik perkara itu adalah perkara yang besar mahupun perkara yang kecil, sama ada disedari mahupun tanpa disengajakan.
Apatah lagi jika hawa nafsunya mendominasi jiwanya.Ia akan sentiasa berkehendak untuk melakukan dosa tanpa ada rasa kesal dan serba salah.
Meskipun manusia itu sering dirundung oleh kemaksiatan dan dosa yang menumpuk, itu bukan bererti tidak ada lagi pintu untuk dia memperbaiki diri ke arah yang lebih baik.
Walaupun dosa seseorang hamba itu setinggi gunung mahupun setinggi langit, pintu rahmat selalu terbuka untuknya.Manusia diberi kesempatan untuk memperbaiki diri dengan melakukan taubat kepada Allah.
Kemaksiatan Antara Seorang Hamba Dengan Allah
Jikalau kemaksiatan itu terjadi antara seorang hamba dengan Allah SWT sahaja,yakni tidak ada hubungan nya dengan hak seorang manusia yang lain, maka untuk bertaubat itu harus menepati tiga syarat, iaitu :
• Pertama : Hendaklah menghentikan maksiat yang dilakukannya pada waktu itu.
• Kedua : merasa menyesal kerana telah melakukan maksiat.
• Ketiga : Berniat untuk tidak mengulangi kembali maksiat itu lagi untuk selama-lamanya.
Jikalau salah satu dari tiga syarat diatas itu ada yang ketinggalan, maka tidak sahlah taubatnya.
Kemaksiatan Yang Dilakukan Antara Sesama Manusia
Apabila kemaksiatan itu ada hubungannya dengan sesama manusia,maka syaratnya itu ada empat, iaitu :
• Pertama : Hendaklah menghentikan maksiat yang dilakukannya pada waktu itu.
• Kedua : merasa menyesal kerana telah melakukan maksiat.
• Ketiga : Berniat untuk tidak mengulangi kembali maksiat itu lagi untuk selama-lamanya.
• Keempat : Melepaskan tangungan itu dari hak kawannya.Maka jikalau tanggungan itu berupa harta atau yang semisal dengan itu,maka wajiblah mengembalikannya kepada yang berhak tadi.
Jikalau berupa dakwaan zina atau yang semisal dengan itu,maka hendaklah mencabut dakwaan tadi dari orang yang didakwakan atau meminta saja pengampunan daripada kawannya,
Dan jikalau merupakan pengumpatan, maka hendaklah meminta penghalalan yakni pemaafan dari umpatannya itu kepada orang yang diumpat olehnya.
Kewajipan Bertaubat
Mengerjakan taubat itu hukumnya wajib dari segala macam jenis dosa yang kita lakukan.Seseorang itu wajiblah bertaubat dari segala macam dosanya, maka taubatnya itu pun sah dari dosa yang dimaksudkannya itu,
Antara dalil yang mewajibkan untuk kita bertaubat :
1.Allah SWT berfirman :
“Dan bertaubatlah engkau semua kepada Allah, hai sekalian orang Mu’min supaya engkau memperolehi kebahagiaan.”
(Surah an-Nur : 31)
2. Allah SWT berfirman lagi :
” Mohon ampunlah kepada Tuhannya semua dan bertaubatlah kepadaNya.”
(Surah Hud : 3)
3.Allah berfirman lagi :
” Hai sekalian orang yang beriman, bertaubatlah kepada Allah dengan taubat yang nasuha yakni yang sebenar-benarnya.”
(Surah at-Tahrim : 8)
Taubat Nasuha
Taubat nasuha itu wajib dilakukan dengan memenuhi tiga syarat, iaitu :
(1) Semua hal-hal yang mengakibatkan diterapi siksa, kerana perbuatan yang dosa jika dikerjakan, wajib ditinggalkan secara sekaligus dan tidak diulangi lagi.
(2) Bertekad bulat dan teguh untuk memurnikan serta membersihkan diri sendiri dari semua perkara dosa tadi tanpa bimbang dan ragu-ragu.
(3) Segala perbuatannya jangan dicampuri apa-apa yang mungkin dapat mengotori atau sebab-sebab yang menjurus ke arah dapat merosakkan taubatnya itu.
Kesimpulannya, Manusia itu adalah makhluk yang tidak pernah luput dari
salah dan lalai. Dirinya sering dihinggapi hawa nafsu yang
selalu mengajak kepada kejahatan dan bermaksiat pada Allah.
Namun begitu, betapa baiknya Allah, walau sebesar apapun dosa yang kita lakukan terhadapnya, Allah tetap ingin mengampunkan dosa kita, bahkan Allah berasa sangat gembira dengan taubat yang kita lakukan.
Kadang-kadang, apabila ditimpa ujian yang berat, sangat cepat untuk kita menyalahkan Allah, apabila ada perkara baik yang berlaku dalam hidup kita, kita berasa seronok tanpa ditujukan pada Allah,
Tetapi apabila ada perkara buruk berlaku dalam hidup kita, kita tujukan pada Allah,bahkan kita mempertikaikan Allah.
Apakah Allah itu perlu mengikut kehendak kita, atau kita yang perlu mengikut kehendak Allah?muhasabah bersama, semoga Allah merahmati kita semua.
Rujukan :
Syarah Riyadhus Shalihin
Syaikh Muhammad bin Shalih Al-Utsaimin