Banci 2020 : Cara Pengisian Online Melalui e-Census, Apa itu Banci? Kebelakangan ini, kerap kita mendengar lagu yang sering dimainkan di radio berkenaan banci ini. Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia 2020 merupakan pembancian bilangan penduduk dan isi rumah berdasarkan pelbagai ciri demografi, sosial dan ekonomi.
Banci merupakan satu program yang dijalankan setiap 10 tahun sekali di seluruh negara serata dunia. Hal ini penting bagi sesebuah negara kerana data yang dikumpul akan diguna pakai dari masa ke semasa.
Apa Itu e-Census?
Dalam negara kita yang sedang membangun ke arah revolusi industri 4.0, kerajaan tidak terlepas pandang peluang ini untuk melakukan pembancian secara atas talian yang dinamakan sebagai e-Census.
Bagi mereka yang pernah mengisi borang banci 10 tahun yang lalu, anda akan perasan bahawa maklumat yang berada di borang adalah sama dengan yang berada di e-Census.
Pada awalnya, pembancian akan dijalankan secara bersemuka tetapi dengan keadaan negara yang masih tidak terlepas dari wabak Covid-19, pembancian secara online telah diperkenalkan untuk mengelakkan anda bertemu secara bersemuka dengan pembanci.
Tempoh Banci 2020
Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia 2020 akan dijalankan pada:
- Fasa 1 : secara atas talian menggunakan e-Census pada 7 Julai – 30 September 2020
- Fasa 2 : secara temuramah bersemuka pada 7 Oktober – 24 Oktober 2020
- Berikutan daripada pertambahan kes Covid-19, aktiviti pembancian secara bersemuka telah dijadualkan semula pada 20 Januari sehingga 6 Februari 2021.
- Oleh itu, pembancian secara atas talian (e-Census) yang telah tamat pada 30 september 2020 akan disambung semula pada 7 Oktober 2020 sehingga 21 Disember 2020
Dalam tempoh ini, rakyat Malaysia yang belum melengkapkan atau mengisi borang digesa untuk berbuat sedemikian di https://ecensus.mycensus.gov.my/landing
Cara Daftar Dan Mengisi ecensus
Terdapat 2 cara untuk menjawab soal selidik e-Census secara online iaitu:
1. Bagi Yang Mendapat Poskad
Di bawah merupakan contoh gambar poskad yang akan diterima di tempat kediaman anda.
Maklumat berkaitan cara pengisian ecensus ada disertakan.
Langkah-langkahnya adalah:
- Pergi ke laman web https://ecensus.mycensus.gov.my/landing
- Klik pada pengguna kali pertama
- Pengguna akan mendapat kod OTP melalui e-mel atau nombor telefon yang telah didaftarkan.
- Isikan borang soal selidik dengan lengkap.
- Tekan butang pengesahan setelah selesai.
- Hantar borang soal selidik.
2. Bagi Yang Tidak Mendapat Poskad.
Bagi yang tidak mendapat poskad, anda dikehendaki untuk pergi ke laman web e-Census untuk mendapatkan invitation kod melalui e-mel.
Langkah-langkahnya adalah:
- Sila pergi ke laman web (https://ecensusreg.mycensus.gov.my/ ) untuk melakukan pra pendaftaran.
- Isikan maklumat yang diminta.
- Sahkan maklumat anda dan pastikan emel yang anda masukkan masih aktif.
- Invitation code akan dihantar melalui emel.
- Jangan lupa untuk sahkan emel anda. Jika tiada sebarang balasan dari ecensus, anda dinasihatkan untuk melihat ke dalam spam folder.
- Tempoh masa penghantaran invitation code adalah 72 jam sejurus selepas anda mengesahkan emel.
Mod Pembancian
Terdapat 4 mod pembancian yang dijalankan sepanjang tempoh banci iaitu:
1. Computer Assisted Personal Interview (CAPI)
Salah satu kaedah pengumpulan data dimana pembanci akan pergi ke tempat kediaman (TK) untuk menemu ramah responden, seterusnya merekodkan maklumat yang diperoleh secara online atau offline.
2. Paper and Pen Interview (PAPI)
Pembanci akan pergi ke TK anda untuk menemu ramah, seterusnya mencatatkan maklumat yang diperoleh ke dalam borang soal selidik.
3. Computer Assisted Telephone Interview (CATI)
Pembanci akan menemu ramah anda melalui telefon dan kemudian semua maklumat yang diperoleh akan dimasukkan ke dalam sistem CAPI.
4. Drop-off and Pick up (DOPU)
Pembanci akan meninggalkan borang soal selidik (drop-off) di TK anda pada hari banci dan akan mengambil semula (pick up) borang tersebut setelah semua maklumat diisi dengan lengkap.
Mod pembancian ini adalah fleksibel untuk TK bandar dan luar bandar. Pembanci boleh memilih mod mana yang sesuai berdasarkan TK yang didiami.
Kesimpulan
Banci yang dilakukan 10 tahun sekali ini sangat penting untuk kerajaan merangka dasar bagi kesejahteraan negara. Ianya juga untuk memastikan setiap perancangan yang dibuat menepati kumpulan sasar dan tiada yang tercicir.
Alhamdulillah makin moden sistem negara kita selaras dengan perkembangan industri 4.0
Semoga perkhidmatan ini berjalan dengan lancar.