Adakah anda tahu apakah Amalan Sunat Ketika Sahur? Bagaimanakah Amalan Sunat Ketika Sahur membantu anda dalam ibadah puasa? Apa pula manfaat Amalan Sunat Ketika Sahur kepada jasmani dan rohani? Ikuti artikel : 5 Amalan Sunat Ketika Sahur yang Boleh Anda Lazimi bagi mendapatkan jawapanya.
Pengenalan
Bersahur secara definisi adalah makan sebelum masuk waktu fajar. Waktunya bermula sejurus usai solat fardu Isyak sehinggalah sebelum fajar. Selain itu, bersahur juga menjadi pemisah antara puasa orang Islam dengan puasa orang nasrani, sebagaimana yang direkodkan oleh sirah.
Pada waktu sahur, tersemat padanya 1001 keberkatan sehingga diabadikan oleh Allah SWT dalam firmanNya :
الصَّابِرِينَ وَالصَّادِقِينَ وَالْقَانِتِينَ وَالْمُنْفِقِينَ وَالْمُسْتَغْفِرِينَ بِالْأَسْحَارِ
Terjemahannya :
(Dan juga) orang-orang yang sabar (dalam menjunjung perintah Allah), dan orang-orang yang benar (perkataan dan hatinya), dan orang-orang yang sentiasa taat (akan perintah Allah), dan orang-orang yang membelanjakan hartanya (pada jalan Allah), dan orang-orang yang beristighfar (memohon ampun) pada waktu sahur.
[Surat Aal-E-Imran 17]
Secara singnifikannya, ayat ini menjelaskan darihal waktu sahur yang sarat dengan keampunan. Syeikh Ali as-Sobuni mensyarahkan dalam tafsirnya :
Ayat ini menceritakan tentang beberapa golongan iaitu :
- Golongan yang bersabar dengan ujian yang ditimpakan oleh Allah SWT kepada mereka.
- Golongan yang membuktikan keimanan (keyakinan) mereka kepada Allah sehingga meninggalkan dunia.
- Golongan yang taat menjunjung perintah Allah SWT di masa susah mahupun senang.
- Golongan yang menafkahkan harta mereka ke arah kebaikan.
Kemudian Allah SWT mengakhiri ayat ini, dengan golongan yang memohon keampunan pada waktu sahur iaitu sebelum terbitnya fajar.
Tambahan pula, sepertiga malam adalah waktu yang terbaik untuk berkhalwat dengan Allah SWT. Bahkan baginda nabi SAW turut menjanjikan naungan Arasy Allah SWT melalui hadis baginda SAW yang bermaksud :
“Tujuh golongan yang dinaungi Allâh dalam naungan-Nya pada hari dimana tidak tiada naungan kecuali naungan-Nya:
- Pemimpin yang adil,
- Seorang pemuda yang tumbuh dewasa dalam beribadah kepada Allâh,
- Seorang yang hatinya terikat kepada masjid,
- Dua orang yang saling mencintai di jalan Allâh, keduanya berkumpul karena-Nya dan berpisah karena-Nya,
- Seorang laki-laki yang diajak berzina oleh seorang wanita yang mempunyai kedudukan lagi cantik, lalu ia berkata, ‘Sesungguhnya aku takut kepada Allâh.’
- Seseorang yang bersedekah lalu ia menyembunyikannya sehingga tangan kirinya tidak tahu apa yang diinfakkan tangan kanannya.
- Seseorang yang mengingati Allâh dalam keadaan sepi sehingga menitiskan air matanya kerana takut.
Bersahur merupakan sunnah Rasulullah SAW, namun terdapat beberapa amalan sunat yang boleh dilakukan ketika sahur. Amalan-amalan tersebut adalah seperti berikut :
5 Amalan Sunat Ketika Sahur yang Boleh Anda Lazimi
1. Melewatkan Sahur
Melewatkan sahur adalah anjuran baginda SAW, selagi mana yakin tidak melangkaui waktu fajar .Sebagaimana yang disabdakan oleh baginda Rasulullah SAW :
“Sesungguhnya kami para Nabi diperintahkan untuk menyegerakan berbuka (sebaik masuk waktunya) dan melewatkan sahur.”
(Hadis Riwayat Tabrani)
Melewatkan sahur mampu mengekalkan tenaga yang memungkinkan diri untuk menambah ibadah kepada Allah. Sebaliknya jika terlalu awal bersahur, badan akan menjadi lemah kerana makanan pantas terhadam. Maka, lewatkanlah bersahur bagi mengelakkan hal ini terjadi.
2. Memperbanyakkan Doa
Berdoa adalah senjata orang mukmin sebagai disabdakan oleh baginda Nabi SAW :
“Doa adalah senjatanya orang beriman, tiangnya agama dan cahayanya langit dan bumi “.
(Hadis Riwayat Al Hakim)
Pada waktu sahur, kita dianjurkan agar memperbanyakkan doa, kerana waktu ini adalah waktu yang dimustajabkan doa. Justeru itu, panjatkanlah doa yang dianjurkan baginda Nabi SAW pada bulan Ramadan iaitu :
اللَّهُمَّ إِنَّكَ عَفْوُ تُحِبُّ الْعَفْوَ فَاعْفُ عَنِّي
Allahumma Innaka Afwu , Tuhibbul Afwa Fakfu A’nni
Terjemahannya :
Ya Allah, sesungguhnya Engkau Maha Pengampun lagi menyukai pengampunan , maka ampunilah daku.
Semoga kita diberikan kekuatan untuk berdoa, ambillah kalam Saidina Umar RA sebagai suntikan semangat untuk konsisten berdoa.
“Aku tidak risau jika Allah SWT tidak mengabulkan doaku,tetapi aku risau apabila aku tidak lagi berdoa”.
(Saidina Umar RA)
3. Menunaikan Solat Malam
Memperbanyakkan solat malam adalah kunci kekuatan umat Islam terdahulu. Generasi gemilang ini sentiasa istiqomah menunaikan solat malam kerana terkandung di dalamnya aura kekuatan yang luar biasa.
Antara solat malam yang boleh dilaksanakan adalah solat sunat tahajjud , solat sunat taubat , solat sunat hajat , solat sunat witir dan lain-lain. Jadi, tunaikanlah solat malam walaupun sekadar dua rakaat, sebagaimana Qowaid Fiqhiyyah menyebut :
“jika tidak mampu buat semua,jangan tinggal semua .”
4. Membaca al-Quran
Tidak dapat dinafikan bulan Ramadan amat popular dengan julukan ‘Bulan al-Quran’. Julukan ini direkodkan dalam al-Quran dalam surah al-Baqarah ayat 185 yang bermaksud :
“(Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan Ramadan yang padanya diturunkan Al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah.”
Bahkan pada bulan Ramadan, seantero media seperti media cetak atau media elektronik subur dengan tadarus dan pengisian-pengisian bertemakan al-Quran. Manfaatkanlah peluang ini sebaik mungkin!
5. Melazimi Zikrullah
Berzikir kepada Allah SWT mampu menghidupkan hati yang layu, di samping memandu diri menuju ketenangan. Banyak lafaz zikir yang boleh diamalkan pada bulan Ramadan, sebagaimana yang telah dicerakinkan pada artikel lepas. Mungkin anda juga boleh mepraktikkan kaedah senarai semak ini untuk lebih bersasar.
Sebelum bersahur,ambillah sedikit masa untuk berzikir kepada Allah SWT. Jika tidak mampu, pasanglah siaran tv atau radio yang memutarkan zikir-zikir ataupun bacaan ayat0ayat suci al-Quran. Semoga ketenangan menyelubungi suasana semasa bersahur.
Penutup
Amalan-amalan sunat umpama bonus dan penyempurna kepada amalan wajib. Oleh itu janganlah merasa rugi apabila menyempurnakan amalan sunat, sebaliknya bersyukurlah kerana Allah SWT memberikan kekuatan untuk melakukannya.
Walaupun begitu, jangan terlalu mengutamakan amalan-amalan sunat sehingga meninggalkan yang wajib tetapi seiringkanlah kedua-duanya. Senang kata :
‘Amalan wajib didahulukan Amalan sunat diutamakan’.
Wallahualam.
Rujukan :
- Sofhatut Tafassir : Syeikh Ali as-Sobuni
- Wirid Selepas Solat | Zoncyber.com
- Senarai Semak Ramadan | Zoncyber.com