Pernahkah anda mendengar tentang Niat Puasa Qada dan Puasa Sunat? Sejauh manakah perbahasan tentang Niat Puasa Qada dan Puasa Sunat ini? Apakah pula perbezaaan antara niat Puasa Qada dan Puasa Sunat? Dan lain-lain persoalan bakal dikupas dalam penulisan yang bertajuk ‘3 Perkara Tentang Niat Puasa Qada dan Puasa Sunat‘
Pengenalan
Niat adalah sebuah cetusan yang dihadirkan sebelum menunaikan sebarang ibadah atau pekerjaan. Niat yang baik akan mendapat kurniaan pahala. Ganjaran ini akan berganda apabila niat tersebut diterjemahkan dengan perbuatan. Niat yang baik ini digelar ‘Taufiq‘ .
Oleh sebab itu, para ulama menganjurkan supaya memperbanyakkan niat yang baik walaupun hanya satu perbuatan. Contohnya jika ingin ke masjid, maka maksimumkanlah niat yang baik seperti ingin berjemaah, mendengar ceramah, bersedekah, bertanya khabar dan sebagainya, kerana ganjaran pahala yang lumayan bakal diraih melalui amalan ini.
Adapun kontra bagi niat yang baik ialah niat yang buruk. Apabila berniat untuk melakukan keburukan, malaikat pencatit tidak mencatatkan dosa. Akan tetapi sebaik sahaja niat itu diterjemahkan kepada perbuatan, maka satu dosa akan tercatat. Niat yang buruk amat akrab dengan Talbis Iblis (Bisikan Syaitan).
Sekiranya kita sering diselubungi niat yang buruk, keraplah beristighfar dan memohon perlindungan kepada Allah SWT. Mudah-mudahan diri kita sentiasa berada di bawah lindunganNya.
Firman Allah SWT
وَقُل رَّبِّ أَعُوذُ بِكَ مِنۡ هَمَزَ ٰتِ ٱلشَّیَـٰطِینِ وَأَعُوذُ بِكَ رَبِّ أَن یَحۡضُرُونِ
Terjemahannya :
Dan katakanlah: “Wahai Tuhanku, aku berlindung kepadaMu dari hasutan Syaitan-syaitan.”Dan aku berlindung kepadaMu, wahai Tuhanku, supaya Syaitan-syaitan itu tidak menghampiriku”.
[Surah Al-Mu’minun 97 – 98]
Selain itu, antara anjuran zikir yang sering diamalkan oleh baginda Rasulullah SAW adalah bacaan Al-mathurat. Himpunan zikir ini dikumpulkan oleh pengasas Jemaah Ikhwan Muslimin iaitu Syeikh Hasan al-banna. Zikir ini terbahagi kepada dua iaitu bacaan zikir pada waktu pagi dan petang.
Insya-Allah dengan pengamalan zikir ini, ia mampu menjadi benteng yang ampuh untuk menghindari gangguan dan lintasan niat yang buruk.
Dalam ibadah pula, dalil yang masyhur tentang niat adalah hadis baginda SAW yang berbunyi :
“Segala amalan itu adalah dengan niat,dan setiap orang hanya mendapat apa yang diniatkan…”
(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)
Hadis ini menjelaskan tentang kepentingan penyertaan niat dalam ibadah. Oleh itu, wajarlah setiap ibadah ada lafaz niatnya yang tertentu.
Oleh itu, mari kita teliti beberapa butiran di bawah tentang ‘3 Perkara Tentang Niat Puasa Qada dan Puasa Sunat’.
1.Tujuan Niat
Niat bertujuan untuk melakukan sesuatu dengan disertakan perbuatan itu. Niat merupakan rukun dalam setiap ibadah, sekaligus menjadi pembeza antara ibadat dan adat.
Ini bermakna tidak sah Ibadah dan tidak diambil kira oleh syarak melainkan apabila diniatkan. Selain itu, seseorang mukallaf tidak mendapat pahala ibadahnya kecuali niatnya betul.
2.Waktu Melafazkan Niat
Melafazkan niat hukumannya adalah sunat mengikut mazhab Syafie, adapun menghadirkan niat adalah wajib. Waktu melafazkan niat berbeza bagi ibadah puasa sunat dan puasa wajib.
Bagi puasa wajib seperti puasa ganti, puasa nazar atau puasa Ramadan, waktu niatnya adalah sebelum terbit fajar atau sebelum masuk waktu subuh.
Manakala Puasa Sunat pula seperti puasa Isnin Khamis, Puasa Enam, Puasa Hari Arafah dan lain-lain, maka waktu niatnya adalah sebelum masuk waktu zuhur. Syaratnya adalah seseorang itu tidak makan, minum atau melakukan segala perkara yang membatalkan puasa lain.
3.Perbezaan Lafaz Niat
Setiap ibadah mempunyai lafaz niatnya yang tersendiri. Bagi ibadah puasa ganti dan puasa sunat, lafaz niatnya adalah seperti berikut :
Puasa Ganti :
نَوَيْتُ صَوْمَ غَادٍ أَنْ قَضَاءٍ فَرْضِ شَهْرِ رَمَضَانَ لِلهِ تَعَالَى
“Nawaitu souma ghodin an qodoin fardi syahri romadona lillahi Ta’ala”
Terjemahannya :
“Sahaja aku berpuasa esok hari, ganti bagi bulan Ramadan karena Allah ta’ala.”
Puasa Sunat :
Lafaz niat bagi puasa sunat kebiasaannya diganti selepas lafaz أداء / ada i, contohnya lafaz niat bagi puasa syawal :
نَوَيْتُ صَوْمَ غَدٍ عَنْ أَدَاءِ سُنَّةِ الشَّوَّالِ لِلهِ تَعَالَى
Nawaitu souma ghodin an ada i , sunnatisy syawwal lillahi taala
Terjemahannya :
Sahaja aku berpuasa sunat Syawal pada esok hari kerana Allah Ta’ala.
Selain itu, terdapat juga lafaz niat puasa sunat yang diganti selepas lafaz صوم / souma, contohnya seperti lafaz bagi puasa sunat hari putih.
نَوَيْتُ صَوْمَ اَيَّامَ اْلبِيْضِ سُنَّةً لِلهِ تَعَالَى
Nawaitu souma Ayyamul Biyd sunnatan lillahi Ta’ala
Terjemahannya :
“Saya niat puasa pada hari-hari putih , sunnah karena Allah ta’ala.”
Penutup
Menjaga niat amat penting bagi melestarikan keikhlasan dalam beramal. Dengan terlafaznya niat, secara automatik minda kita akan terdorong untuk fokus pada satu-satu ibadah. Oleh itu, lazimilah lafaz niat sebelum menunaikan sebarang ibadah.
Namun jangan pula lupa untuk melibatkan hati semasa lafaz niat dilafazkan. Semoga Allah SWT mengurniakan kepada kita hati yang ikhlas untuk beramal kepadaNya.
Wallahualam.
Sumber dan Rujukan
- Bahtera Penyelamat Syarahan Datuk DR.Zulkifli Mohamad al-Bakri
- Niat Puasa Ganti dan Niat Puasa Sunat | Tazkirah.my